Nasional

Wakil Tesla temui MITI 22 Ogos, bincang rancangan pelaburan di Malaysia – Tengku Zafrul

Wakil daripada ibu pejabat Tesla di Amerika Syarikat akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 22 Ogos ini untuk membincangkan rancangan selanjutnya berkaitan pelaburan syarikat itu di Malaysia.

Memetik BERNAMA, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata persetujuan dengan Tesla sebelum ini adalah untuk melabur dalam ekosistem pengecasan, penyelidikan dan pembangunan serta sektor lain yang berkaitan.

“Berkaitan isu mengenai kilang Tesla (di Thailand) yang hangat diperkatakan ketika ini, setakat ini, maklumat yang diterima hanya laporan daripada pihak ketiga dan bukan daripada sumber rasmi Tesla. Namun, untuk berlaku adil kepada Tesla, mereka tidak pernah berjanji untuk membuka kilang di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mini MITIday dan majlis pecah tanah dewan serba guna terbuka Kampung Angkat Madani di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam hari ini.
Tengku Zafrul berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pertemuan dengan wakil Tesla dan memastikan komitmen yang dijanjikan sebelum ini akan terus dipenuhi. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button