Acara

Pemangku Raja Perlis rasmikan Semarak Merdeka Komuniti Madani 2024

CHUPING 7 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Semarak Merdeka Komuniti Madani 2024 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Felda Chuping.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (Sektor Pengurusan Sekolah), Cikgu Hamidi Md Saad.

Turut hadir sama adalah Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS), Reswan Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Encorp Berhad, Hj. Hazurin Harun dan
Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi.

Program yang telah berlangsung selama dua hari itu telah dianjurkan oleh pihak KUIPs sebagai penganjur utama dan turut mendapat kerjasama daripada PIBKS serta Komuniti Felda Chuping Perlis yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan memperkukuhkan hubungan PIBKS dengan komuniti setempat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dengan mengacau bubur asyura bersama komuniti yang merupakan penduduk dan masyarakat setempat.

Tuanku Pemangku Raja menzahirkan rasa suka cita atas penganjuran program seumpama ini yang telah berjaya menghimpunkan masyarakat dari pelbagai peringkat umur untuk sama-sama menjalankan pelbagai aktiviti yang diadakan. Secara tidak langsung ianya dapat mengukuhkan ukhwah dan silaturahim khususnya masyarakat di sekitar Felda Chuping ini.

Turut diadakan ialah pertandingan deklamasi sajak, kuiz kemerdekaan, ceramah merdeka, fun walk, pertandingan gambar Merdeka Madani, sukaneka dan beberapa aktiviti menarik lain lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button