Acara

Raja Perlis terima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Jerman

KANGAR 6 Ogos – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima kunjungan sembah mengadap oleh Duta Besar Malaysia ke Jerman, PYT Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin di Kangar pada malam semalam.

Berangkat sama adalah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Rusdi Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn Bhd, Datuk Nellsen Young.

Pada sebelah petang sebelum itu, Datin Paduka Dr. Adina tidak melepaskan peluang untuk menyertai Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Kampung Titi Tok Bandar.

Duta Besar Malaysia ke Jerman itu bersama suaminya, Mahzan Abdul Samad dan anaknya, Muhammad Aqeel Rasikh Mahzan berada di Perlis selama 2 hari bermula 5 Ogos hingga 6 Ogos 2024.

Beliau juga melawat beberapa lokasi tarikan pelancong termasuklah di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai yang merupakan Program Transformasi Diraja dan Muzium Marhum Kota Kayang selain meninjau potensi pelaburan dan ekonomi di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) bersama pihak Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), serta Superfruits Valley di Chuping dan beberapa lagi kawasan tumpuan di negeri ini.

Tuanku Raja meminta Adina membantu merwar-warkan mengenai potensi pelaburan dan pelancongan negeri Perlis di negara Jerman.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button