China antara tiga negara teratas dapat emas di Olimpik
MENGIKUT sejarah China ini dah menyertai Olimpik sejak tahun 1932 lagi tetapi emas pertama yang mereka dapat untuk Olimpik adalah pada tahun 1984, iaitu dalam acara menembak. Emas yang dibawa oleh Xu Haifeng pada 1984 bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi menjadi kebangkitan negara.
Ia memberi isyarat bahawa China, walaupun kurang pengalaman dalam sukan antarabangsa, mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat tertinggi. Kemenangan ini mencetuskan minat seluruh negara dalam pelbagai jenis sukan dan usaha bersepadu oleh kerajaan untuk melabur dalam infrastruktur sukan dan pembangunan atlet.
Sekarang, kita lihat pula apa sebab sebenar atlet dari China ini begitu cemerlang dalam Olimpik atau acara sukan yang lain. Pertamanya, sistem di China ini adalah bertunjangkan negara yang merekrut puluhan ribu kanak-kanak untuk latihan sepenuh masa bagi lebih 2,000 buah sekolah sukan yang dikendalikan kerajaan.
Kanak-kanak yang kurang berminat dalam akademik dibenarkan untuk masuk ke bidang sukan yang mereka minati. Mereka ini akan diberi sokongan penuh untuk melibatkan diri dalam sukan dan melihatnya sebagai profesion apabila dewasa nanti.
Perekrut khas yang dilantik akan meninjau ke seluruh negara untuk memilih kanak-kanak dalam kumpulan umur 3 hingga 5 tahun bagi memasuki sekolah sukan ini. Kerajaan China telah memperuntukkan dana yang besar untuk melatih atlet di pusat-pusat ini.
Di bawah skim pusat ini, kerajaan bertanggungjawab terhadap semua atlet. Daripada jurulatih peribadi kepada kaedah latihan serta peralatan moden, mereka akan memperoleh semuanya tanpa perlu memikirkan kosnya.
Sebab yang kedua pula adalah cara latihan para atlet China ini. Latihan ini dipanggil latihan berstruktur yang ada kaitan dengan menghormati kepercayaan Confucian. Bentuk latihan ini adalah setiap atlet yang menyertai Sukan Olimpik menjalani latihan wajib selama 350 hari.
Fokus latihan yang dijalankan di China ini bertumpu kepada gabungan sains sukan, pemakanan dan psikologi, yang nampaknya membawa kepada peningkatan prestasi atlet China. Selain itu, mereka juga beri tumpuan untuk menyediakan kemudahan terkini dan sistem sokongan yang komprehensif agar atlet mencapai potensi penuh mereka.
Paling utama, negara China memberi kepentingan untuk memenangi emas berbanding hanya memenangi sebarang pingat. Mereka percaya ia menghantar mesej penting kepada dunia luar tentang sejauh mana China telah maju sebagai sebuah negara dan kepentingan atlet yang memenangi emas dalam membentuk KDNK negara.
Bagi kita, melatih kanak-kanak seawal usia 3 atau 4 tahun dalam sukan adalah sesuatu yang ekstrem. Namun, bagi sebuah negara seperti China, tiada jalan pintas untuk menghasilkan kejayaan buat negara.
Ini sama seperti yang disebut dalam buku Same As Ever, bahawa perkara yang berbaloi untuk dikejar itu pasti datang dengan kesakitan. Rahsianya adalah untuk tidak mempedulikan kesakitan.
kreadit : Farahi Kamaruddin
Artikle Berkaitan :>
Joshua Cheptegei raih emas dengan rekod Olimpik acara 10,000m lelaki