Nasional

Pemangku Raja Perlis bertemu Qatar Chamber

DOHA (Qatar) 1 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengadakan pertemuan dengan pihak Qatar Chamber (QC) di Doha, Qatar ketika singgah dalam perjalanan balik ke tanahair selepas mengetuai Lawatan Khas Safar Ilmi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Nigeria. Demikian menurut kenyataan MAIPs.

Pihak Qatar Chamber yang merupakan Dewan Perniagaan negara tersebut diketuai oleh Naib Pengerusi Pertama, Mohammed Ahmed Twar Al Kuwari.

Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi sama oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail beserta Mufti Perlis, Prof Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama ialah Charge D’Affaires di Kedutaan Malaysia Doha, Maryam Masyitah Ahmad Termizi.

Baginda dan delegasi memperkenalkan peluang-peluang serta potensi pelaburan dan beberapa insentif yang ditawarkan oleh Perlis.

Antara sektor utama yang boleh dipertimbangkan di Perlis adalah pelancongan, pertanian, perlombongan, logistik, pendidikan dan perikanan.

Baginda turut mengalu-alukan ahli perniagaan Qatar melawat Perlis untuk melihat serta merasai sendiri keindahan negeri yang ‘Damai dan Menawan’ ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Dalam tempoh sehari suntuk tersebut, Tuanku Pemangku Raja turut meluangkan masa bertemu dalam sesi-sesi berasingan dengan pihak Al Faizal Holdings, Al Jameel Showroom serta beberapa orang wakil daripada The Malaysian Association of Qatar (MAQ).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button