Nasional

MN bantu 27 keluarga yang dipindahkan tanpa pampasan di Gua Musang

KUALA LUMPUR- Muafakat Nasional (MN) sedang giat berusaha membantu 27 keluarga di Kampung Bertam, di Gua Musang dengan bantuan Menteri Besar Kelantan yang terpaksa berpindah tanpa sebarang pampasan.

Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan hasil usaha dan kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nasarudin Daud ke Kampung Bertam pada Jumaat lalu telah memberi sinar harapan kepada 27 keluarga terbabit.

“Jumaat lalu Menteri Besar Kelantan sendiri turun padang bagi mengunjungi Kampung Bertam dan telah diberi penjelasan berkenaan masalah yang menimpa 27 keluarga terbabit.

“Petang semalam Menteri Besar telah menghubungi Presiden MN bagi memaklumkan keputusan dan tindakan kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Kelantan bersetuju meluluskan sebuah kawasan dianggarkan seluas 10 ekar untuk dijadikan tapak rumah bagi kesemua yang terlibat.

“Setiap keluarga akan diberi satu lot tapak rumah yang berukuran 6,000 kaki persegi.Mereka akan dibenarkan memasuki tapak tersebut serta merta setelah pembahagian lot diuruskan oleh Ketua Jajahan Gua Musang serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

“Mereka boleh mendaftarkan permohonan bagi mendapatkan hak milik mengikut prosedur sedia ada,” maklum Annuar.

Menurut beliau, Menteri Besar Kelantan mengambil maklum dan akan terus berunding dengan wakil rakyat dan pegawai jajahan serta agensi berkaitan bagi membantu menyelesaikan segala isu rakyat yang banyak dibangkitkan terutamanya isu yang gagal diselesaikan sebelum ini.

Justeru kata Annuar, beliau dan barisan kepimpinan MN amat terharu dengan keprihatinan, cakna serta proaktif Menteri Besar Kelantan.
“Sikap seperti ini sepatutnya menjadi teladan kepada semua.

“Lanjutan itu, MN bersetuju untuk mewujudkan sebuah Sekretariat Aduan dan Rundingcara Masalah Rakyat ( SARMA ) yang diketuai oleh Datuk Seri Eizlan Yusoff bagi meneruskan usaha dan berkerjasama dengan pemimpin tempatan, wakil rakyat dan kerajaan agar
masalah serta aduan rakyat dapat kita ikhtiar dan atasi bersama,” katanya. – Suara TV

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button