Acara

Pemangku Raja Perlis melawat stesen radio, televisyen di Namibia

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meluangkan masa melawat ibu pejabat Namibian Broadcasting Corporation (NBC) iaitu stesen penyiaran awam dan rasmi milik Kerajaan Namibia yang memiliki dan mengendalikan beberapa saluran radio dan saluran televisyen beroperasi di Cullinan Street Northern Industrial Area, Windhoek.

Keberangkatan Baginda yang diiringi sama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail disambut dan seterusnya dipersembahkan taklimat dan dibawa melawat oleh Ketua Pengarah NBC, Stanley B Similo, Ketua Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, Peter Denk serta Ketua Bahagian Berita dan Program, Menesia Muinjo.

Dalam titah Baginda sempena kunjungan itu Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan yang Baginda berpandangan bahawa adalah amat penting untuk melihat komuniti global terus bersatu. Meskipun datang dari negara dan rantau yang berbeza, ia bukanlah penghalang kerana kita dapat berhubungan melalui kemajuan media dan komunikasi pada hari ini. Seluruh penduduk dunia kini adalah warga universal sebagai ‘Global Village’ yang hidup sebagai sebuah keluarga yang besar.

Tambah Baginda, ‘Sekiranya konsep ‘World Family’ ini diterima oleh semua orang, semangat ‘Global Village’ dapat mengurangkan sebarang jurang ketidaksamaan antara negara dan seterusnya menyatukan semua. Lebih banyak usaha dan kerjasama yang perlu untuk terus dilaksanakan untuk lebih saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Ia juga merupakan antara kunci kejayaan bagi ‘Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selaras dengan pengukuhan institusi dan keadilan’.

Terdahulu daripada itu Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya tampil secara langsung dalam temubual segment antarabangsa program television ‘Good Morning’ bagi memperkenalkan negeri Perlis dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta menerangkan mengenai program Safar Ilmi selama tiga hari ke negara tersebut yang diketuai sendiri oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Dari stesen NBC itu, Baginda terus berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hosea Kutako Windhoek bagi menamatkan lawatan khas ke negara Namibia yang padat dengan program penuh berimpak selama tiga hari melibatkan program agama, ekonomi khususnya industri halal, kemanusiaan, kemasyarakatan, masakan, pelancongan dan sukan, yang diaturkan oleh pihak Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek itu.

Mohamad Rameez dan isteri, Datin Zulaikha Rameez serta Setiausaha Ketiga, Norazila Roslan berada di Kompleks VIP lapangan terbang tersebut bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Baginda dan anakanda.

Turut serta dalam delegasi Baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button