Rencah Hidup

Keputusan SPM hari ini: Kehendak ibu bapa atau kemampuan pelajar?

SEJAK semalam mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang merasakan debaran degupan jantung menantikan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diumumkan hari ini.

Keputusan yang menentukan sama ada anak-anak dapat melangkah terus ke institusi pengajian tinggi awam dengan menyambung pelajaran mereka menerusi matrikulasi.

Atau pun berdasarkan keputusan yang diperoleh dalam tangan kelak, anak-anak akan menyambung pengajian mereka di kolej-kolej swasta atau universiti swasta yang menawarkan pelbagai kursus profesional.

Pernahkah pembaca alami situasi bimbang menanti keputusan SPM yang mana, nasi yang ditanak di dalam periuk nasi elektrik, tidak ditekan butang ‘cook’ dan beras hanya terendam dalam periuk nasi berkenaan?

Itu tidak termasuk perasaan gementar dan gemuruh sehingga merasakan degupan jantung boleh didengar kerana degupannya amat kencang.

Apabila zaman berubah, matapelajaran atau subjek yang diajar juga berubah. Adakalanya dalam kalangan ibu bapa hari ini, sukar untuk mengajar anak-anak membuat kerja sekolah atau latihan daripada buku latihan.

Sama ada sistem pendidikan negara mencapa tahap terlalu tinggi sehingga silibus yang diajar di peringkat sekolah rendah kepada kalangan pelajar darjah satu yang baharu berumur tujuh tahun, agak tinggi capaianya.

Anak-anak lebih takut gagal dan ibu bapa pula, kalau bukan semua tetapi segelintir, mahu anak-anak mencapai keputusan yang amat-amat cemerlang.

Dalam erti kata, kena dapat STRAIGHT As, baharulah anak itu disanjung, dipuji, diuar-uarkan di media sosial samada di Facebook atau pun di Instagram.

Mesti ada yang akan berbuat demikian. Sedangkan pernahkah ibu bapa terfikir, perbuatan mereka itu secara tidak langsung, membanding-bandingkan kemampuan anak-anak mereka dengan anak-anak orang lain yang mana level IQ atau kecerdasan otak adalah berbeza di antara seorang individu dengan invidivu yang lain.

Bukan mahu merendah-rendahkan tahap pencapai anak-anak pelajar atau pun menyangkal rasa bangga ibu bapa yang anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam keputusan peperiksaan.

Cuma apabila keterlaluan paparan yang dilakukan, atau pun di peringkat sebelum anak-anak menduduki peperiksaan, anak-anak sudah ditekan dan digiat atau didesak supaya mencapai keputusan cemerlang.

Tindakan itu sebenarnya memberi tekanan kepada anak-anak sedangkan dunia persekolahan, dunia pembelajaran seharusnya menjadi ‘satu dunia’ yang menyeronokkan.

Ya, tidak dinafikan semua mahu berjaya dalam pelajaran. Tidak ada sesiapapun yang mahu tercicir dalam pelajaran tetapi janganlah terlalu mendesak sehingga anak-anak merasa tertekan.

Sistem pendidikan berubah apabila menterinya berubah. Perubahan yang dibawa oleh seseorang menteri itu adalah mengikut acuan yang mereka kehendaki tanpa mengambil kira, apakah natijah yang akan berlaku ke atas diri seorang anak atau pelajar itu di jangka masa panjang.

Mengubah sistem pendidikan jangan dilakukan secara mudah. Biarlah seimbang dan memberi manfaat kepada seorang anak atau pelajar.

Penekanan kepada matapelajaran asas menjadi ‘kunci’ kepada anak-anak pelajar untuk memilih kursus selepas SPM.

Di situlah juga seseorang anak pelajar akan dikenalpasti kecenderungan mereka yang pelbagai. Adakah mereka cenderung ke arah keusahawanan atau kemahiran hidup  ataupun kesenian?

Janganlah ada sikap berputus asa sekiranya keputusan peperiksaan SPM yang akan diumumkan hari ini, tidak memihak kepada anak-anak. Bukan keputusan cemerlang.

Tidak semestinya dengan keputusan yang diperoleh itu, terhenti sudah langkah untuk masa depan yang cerah.

Pokok pangkalnya, usaha dan jangan mudah berputus asa. Anak-anak pelajar telah pun melakukan yang terbaik dan hari ini, ibu bapa terimalah apa juga keputusan SPM anak anda dengan berlapang dada. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button