Nasional

Ramai tidak faham prosedur perbaharui pasport hilang ketika di luar negara

Rakyat Malaysia yang kehilangan pasport ketika berada di luar negara perlu membuat laporan polis dan mengemukakan salinan Kad Pengenalan atau salinan pasport semasa atau salinan sijil lahir dan 2 keping gambar bagi membolehkan pejabat Perwakilan Malaysia membantu menyediakan Sijil Perakuan Cemas (Emergency Certificate) untuk membolehkan mereka dapat pulang ke Malaysia.

Isu yang timbul selalu melambatkan proses ialah di mana rakyat Malaysia yang kehilangan pasport tidak mengetahui tindakan yang perlu diambil dan dalam kebanyakan kes mereka tidak menyimpan salinan pasport, kad pengenalan dan sebagainya.

Dalam hal ini, rakyat Malaysia yang berhasrat ke luar negara dinasihatkan untuk membuat persediaan seperti berikut iaitu Membuat salinan kad pengenalan, pasport, visa, sijil lahir dan gambar ukuran pasport; Mencatatkan nombor telefon pejabat Kedutaan atau Konsulat Jeneral di negara yang ingin dilawati yang boleh dihubungi ketika kecemasan. Maklumat berkaitan semua pejabat Perwakilan Malaysia di luar negeri boleh diperolehi di laman web rasmi Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra www.kln.gov.my dan juga Mengambil insuran (travel insurance) yang melindungi diri jika berlaku kemalangan semasa berada di luar negara.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Konsul 1 merangkap Timbalan Konsul Jeneral, Nik Mohd Faqir Nik Zin dan Konsul (Pentadbiran, Kewangan dan Konsular) Sohaimi Ahmad yang mewakili Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand iaitu Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pejabat Konsulat Jeneral tersebut baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Tuanku Pemangku Raja telah berkenan untuk menyampaikan sumbangan agihan zakat daripada Tabung Kebajikan Ibnu Sabil Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM5,000 kepada pihak Konsulat Jeneral. Sumbangan berkenaan adalah bagi membantu rakyat Malaysia yang ditimpa musibah yang memerlukan bantuan sumber kewangan segera.

Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla merakamkan ucapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Kebawah Duli Tuanku dan pihak MAIPs.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd Zahari Ismail menyampaikan ucapan penghargaan mewakili para tetamu yang hadir kepada pihak tuan rumah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button