Rencah Hidup

Pelbagai potensi perlu diteroka oleh Perlis-Singapura

Antara prospek kerjasama di antara Singapura dengan Perlis yang boleh diteroka adalah sektor pelancongan termasuklah Perlis sebagai pintu masuk atau ‘gateway’ ke Selatan Thailand; sektor pendidikan termasuklah pertukaran pelajar dan tenaga pengajar; bidang ekonomi termasuklah penubuhan kawasan industri dan pengeksportan hasil pertanian terpilih seperti mangga harumanis Perlis.

Demikian dikongsikan oleh Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena lawatan kerja Baginda ke sana baru-baru ini bagi mengetuai delegasi Jawatankuasa Kewangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah selepas menyempurnakan pelancaran Promosi Masakan Perlis yang buat julung kalinya diadakan di Singapura berupa Kurma Daging Perlis di Islamic Restaurant Singapore yang beroperasi di 745 North Bridge Road.

Menyambut keberangkatan Tuanku Pemangku Raja ialah Pengurus jenerasi ketiga restoran itu Kaliloor Rahaman yang telah beroperasi sejak tahun 1921.

Promosi tersebut menurut kenyataan MAIPs dianjurkan oleh pihak restoran berkenaan dengan kerjasama MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bersempena kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang diinisiatifkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Pihak restoran tersebut juga menyediakan menu khas berupa ‘Kurma Lamb Shank’ menggunakan resipi dari Perlis yang sama pada malam tersebut.

Untuk rekod, menurut maklumat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, sejumlah 3 juta ketibaan pelancong dari Singapura direkodkan bagi suku pertama 2024, iaitu peningkatan sebanyak 40% berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Pada ketika ini juga terdapat ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di Singapura khususnya atas faktor pekerjaan dan sebahagian besarnya memegang status penduduk tetap (PR).

Dalam masa yang sama, dianggarkan seramai 250,000 hingga 300,000 orang rakyat Malaysia berulang alik di antara Johor dan Singapura pada setiap hari.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button