Pendidikan

Pemangku Raja Perlis saksikan MoU KUIPs-MMU

KUALA PERLIS , 6 JULAI 2024 – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universiti Multimedia (MMU) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan di dalam negara yang disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai Kuala Perlis pada 6 Julai 2024.

Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle yang berucap di majlis itu berkata dengan MoU ini diharap ke dua pihak dapat mengukuhkan komitmen persahabatan untuk bekerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, aktiviti dan perkongsian pintar demi kepentingan bersama.

Katanya, antara kerjasama yang telah dipersetujui ialah penerimaan pelajar dari MMU atau KUIPs untuk mengikuti program pengajian lanjutan yang bersesuaian jika memenuhi syarat kemasukan yang sesuai.

“Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menerima pelajar-pelajar bagi melaksanakan Latihan Industri di Institusi masing-masing selain bekerjasama dalam perkhidmatan rundingan dan pakar, serta mengadakan aktiviti-aktiviti penyelidikan seperti konferensi, simposium, kursus pendek dan lain-lain lagi,” ujar beliau lagi.

Moga dengan kerjasama ini juga akan membuka peluang baru untuk pembangunan akademik, inovasi, dan mengharmonikan pendidikan tinggi sekali gus dapat membantu meningkatkan imej KUIPs MMU di peringkat global.

Delegasi MMU yang disertai oleh 80 pelajar dan 25 kakitangan ini telah berkampung di sini semenjak 2 Julai 2024 bagi menjayakan program yang diberikan nama Projek Mendakap Alam iaitu menyiapkan Mural di Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Dalam pada itu Presiden merangkap CEO Universiti Multimedia (MMU) Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’Ud yang ditemui selepas majlis itu berkata, kedatangan warga MMU ke Perlis ini, merupakan kunjungan balas susulan daripada lawatan Tuanku Syed Faizuddin Putra ke kampus MMU di Cyberjaya pada 10 Disember 2023 yang lalu.

Katanya kehadiran delegasi MMU ini selain memenuhi undangan baginda mereka juga dapat menceriakan Kampung Seberang Ramai melalui lukisan mural di rumah-rumah penduduk kampung.

Manakala menyentuh mengenai kerjasama strategik antara MMU dan KUIPs pula beliau melahirkan rasa gembira kerana pastinya kedua-dua institusi ini akan dapat manfaat.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan KUIPs di atas jalinan kerjasama yang di adakan ini,” sambung beliau lagi.

Program tiga hari ini dijayakan secara bersama oleh pelajar serta pensyarah daripada Fakulti Multimedia Kreatif (FCM), pegawai-pegawai Jabatan Gayahidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE) serta penduduk Kampung Seberang Ramai.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button