Pemangku Raja Perlis garis tiga langkah tambah baik gerakan koperasi
KANGAR, 5 Julai (Bernama) — Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menggariskan tiga langkah sebagai saranan untuk menambah baik lagi gerakan koperasi di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah langkah pertama ialah kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk menyediakan inisiatif pembangunan koperasi dalam peruntukan belanjawan tahunan negeri akan datang bagi memperkasa sektor itu di Perlis.
“Langkah kedua, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensinya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) diharapkan agar terus menyediakan kemudahan dan menyalurkan
bantuan kepada gerakan koperasi negara.
“Seperti kemudahan pembiayaan, geran bantuan, pembangunan produk, akses pasaran, jaringan hubungan antarabangsa serta latihan modal insan khususnya buat rakyat negeri Perlis,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Bulan
Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Koperasi Negara (HKN) Tahun 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan.
Pemangku Raja Perlis itu bertitah, langkah ketiga pula ialah masyarakat perlu memanfaatkan sebaiknya peluang dan kelebihan dalam berkoperasi untuk memperbaiki dan meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.
“Pembabitan setiap individu dalam aktiviti koperasi mampu meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi masyarakat setempat dan persekitarannya,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah dengan berpesan kepada para pemimpin koperasi supaya sentiasa memastikan koperasi mempunyai tatakelola yang baik dan diuruskan dengan penuh integriti agar dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk berkoperasi.
Sementara itu, SKM dalam satu kenyataan media hari ini sempena majlis perasmian itu memaklumkan kerajaan memilih Perlis untuk melaksanakan sambutan BKK bertujuan mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan melalui gerakan koperasi selaras hasrat kerajaan dalam mempromosi dan meningkatkan kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa.
“Penganjuran majlis pada kali ini juga akan menjadi titik tolak kepada perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) Tahun 2024 yang akan diadakan di setiap negeri sepanjang bulan Julai dan berakhir pada bulan Ogos 2024,” menurut kenyataan itu.