Nasional
Tabika Kemas akan laksana Program Tabika Pra Tahfiz menjelang 2030
SEMUA taman bimbangan kanak-kanak (tabika) Kemas di seluruh negara akan Program Tabika Pra Tahfiz menjelang 2030.
Itu sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertujuan memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak akan menggunakan modul Yayasan Pahang, Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (PINTAR) dan Kemas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mempersembahkan cadangan tersebut itu kepada Sultan Pahang, (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi itu Yang di-Pertuan Agong.
“Tuanku telah menyarankan pra tahfiz Kemas yang dilaksanakan oleh Yayasan Pahang dapat digunakan oleh Kemas.
“Mudah-mudahan ini (Tabika Kemas program pra tahfiz) akan dapat dilaksanakan. Bagi kaedah (mereka) yang bukan Islam, ada kaedah lain untuk anak-anak ini. Namun, untuk ini, saya fikir anak-anak orang Islam khususnya desa dan luar bandar, sangat memerlukan pengajaran ini, kita akan teruskan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai Bersama Komuniti Daerah Lipis di Dewan Residen, Kuala Lipis, hari ini.
Untuk itu katanya, kerajaan akan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengajar guru-guru yang tidak ada latar belakang pendidikan agama untuk mengajar al-Quran dan agama Islam.
“Kita melakukan usaha serampang dua mata iaitu untuk mengajar, pengajar mesti tahu kerana ilmu ialah tentang bagaimana input ilmu itu diberikan. Oleh sebab itu, guru-guru KEMAS ini kita lakukan latihan yang begitu iaitu kerjasama menerusi Yayasan Pahang, Yayasan PINTAR, UPSI dan melalui modul Kemas.
“Saya juga akan mengusahakan guru Kemas N29 dan kategori yang lain, kita tahulah nak minta dengan tidak mendesak tetapi memujuk supaya guru Kemas diambil kepedulian dari segi skim gaji oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata pendidikan agama Islam yang betul mengikut al-Quran penting memandangkan banyak kelas taska atau tadika yang telah menyeleweng daripada asas pendidikan prasekolah yang disuntik dengan doktrin pemikiran ketaksuban.
“Maka, kita mesti mencari jalan supaya tidak berlaku penyelewengan dari segi pedagogi pendidikan atau kaedah pengajaran supaya pengajaran agama Islam dan pengajaran al-Quran itu mesti mengikut apa yang ada di dalam pengajaran kita.
“Sumber hukum berkenaan, yang pertama, pengajaran mesti yang ada di dalam al-Quran, kedua apa yang ada dalam hadith dan ketiga qias dan keempat ijmak ulama,” katanya. – SM