Isu 6 ahli Parlimen: PN lebih berani dari Kerajaan Perpaduan
DALAM isu yang membabitkan enam ahli Parlimen dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, nampaknya pihak Perikatan Nasional (PN) nampak lebih berani dalam menyelesaikan isu-isu tergantung membabitkan wakil rakyat terbabit.
Analoginya senang sahaja. Semua wakil rakyat itu dipilih oleh pengundi kerana ketika Pilihan Raya Umum (PRU) mereka mewakil PN. Jadi, apabila mereka mengalih sokongan kepada pihak lawan sebagai Perdana Menteri sudah tentu ia bertentangan dengan agenda parti.
Bagilah apa hujah sekali pun, apa alasan sekali pun (alasan paling popular untuk kepentingan rakyat di kawasan mereka), tetapi mereka sudah beralih landasan.
Kapal terbang atau kereta api yang beralih landasan secara tiba-tiba ini boleh menyebabkan terhempas atau kemalangan.
Itulah kemalangan yang berlaku kepada semua wakil rakyat yang berubah sokongan itu apabila Bersatu meminda perlembagaan menyebabkan mereka kehilangan keahlian secara automatik.
Ini adalah tindakan berani Bersatu dan PN di mana mereka ambil risiko pinda perlembagaan, gugurkan keahlian dan buka kepada pemilihan wakil rakyat baharu melalui pilihan raya kecil (PRK).
Daripada bertengkar mengenai keabsahan enam wakil rakyat Bersatu yang telah berpaling tadah tanpa lompat parti itu, adalah lebih baik terima hakikat, keahlian mereka gugur secara automatik dan dianggap sebagai lompat parti dan berdasarkan Perlembagaan, lompat parti bermakna lucut jawatan sebagai wakil rakyat.
Kepada enam wakil rakyat itu, kedudukan mereka tentunya lebih mantap jika mereka letak jawatan sebagai wakil rakyat Bersatu dan bertanding semula sama ada sebagai calon kerajaan atau bebas.
Dalam hal ini, PN dan Bersatu nampak lebih berani dalam memastikan pertikaian membabitkan enam wakil rakyat itu diselesaikan secara tuntas.
Sepatuhnya, enam wakil rakyat itu dan Kerajaan Perpaduan juga kena berani untuk mengadakan PRK supaya sokongan yang diberikan kepada mereka tidak ada siapa yang boleh pertikaikan. – SM