Nasional

Pemangku Raja Perlis lancar menu Daging Kurma Perlis di hotel di Arab Saudi

Kurma Daging Perlis adalah sebahagian menu tradisi negeri Perlis yang wajar diperkenalkan dengan lebih meluas lagi hingga ke negara luar untuk mempromosikan keunikan masakan negeri Perlis itu sendiri. Setiap kali mempromosikan menu ini, perkataan ‘Perlis’ perlulah disebut dan ditulis bersama Kurma Daging itu sendiri agar ia menjadi satu ingatan kepada semua yang mencubanya.

Bahkan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 kali ini, usaha untuk mempromosikan menu khas ini perlulah dilaksanakan berlipat kali ganda lagi oleh pelbagai pihak agar ianya tidak terhenti begitu sahaja dan sentiasa menjadi sebutan di mana-mana sahaja sehingga ke peringkat antarabangsa.

Demikian yang dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan melancarkan menu masakan Kurma Daging Perlis bertempat di Suites Almaqam Hotel, Aziziyah, Arab Saudi baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh pihak hotel berkenaan dengan kerjasama DSH Group, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan MKM Ticketing Travel & Tours.

Turut berangkat adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda puteri sulung Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, anakanda puteri kedua Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan anakanda putera bongsu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Kurma Daging Perlis menggunakan resepi daripada Istana Arau disediakan oleh Chef Eksekutif DSH Group, Mohd Fauzi Ahmad dan Chef ‘Sous’ Eksekutif, Engku Mohd Salleh Engku Hamzah, yang disajikan kepada seluruh jemaah haji dari Malaysia di bawah kelolaan MKM Ticketing & Tours Sdn. Bhd. (MKM) yang menginap di Suites Almaqam Hotel, Aziziyah tersebut.

Turut bersama hadir adalah Ketua Pegawai Operasi DSH Group, Azhan Zakaria dan Chef Eksekutif Suites Almaqam Hotel, Naser Fouad Said.

Sebagai rekod, DSH Group adalah merupakan milik Komatra Sajian Sdn. Bhd. dan dilantik oleh pihak MKM untuk menyediakan sajian sarapan pagi, tengahari dan malam buat semua jemaah haji di bawah kendalianny yang menginap di Suites Almaqam Hotel berkenaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button