Nasional

Tanam durian pada skala besar untuk pasaran China – Mohamad Sabu

Semua pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera perlu memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi.
Memetik BERNAMA, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu perlu dimulakan dari sekarang susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China semalam.
Beliau berkata kejayaan pemeteraian antara kedua-dua negara perlu dimanfaatkan kerana aktiviti pengeksportan durian merupakan perniagaan yang bernilai tinggi dan membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.
“Kita (Malaysia) telah tandatangan secara rasmi dengan China semalam. Selepas ini durian kita akan dieksport terus ke China dengan mengikut peraturan dan lesen yang ditetapkan dan sebagainya.
“Kalau penanam berusaha dari sekarang, dalam masa antara lima dan enam tahun akan dapat hasil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini pada Khamis.
Mohamad berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha dalam memastikan durian yang dihasilkan dari ladang tempatan itu berkualiti dan sesuai dieskport ke China.
“Tanamlah apa sahaja jenis durian tapi mesti berkualiti untuk dieskport,” katanya sambil memetik laporan media antarabangsa baru-baru ini mengenai permintaan durian yang semakin meningkat dan mendapat permintaan daripada penduduk global.
Semalam, Malaysia dan China telah memeterai protokol berkenaan dalam majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang.
Malaysia sebelum ini diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018.
China merupakan pasaran eksport utama durian dari Malaysia dengan nilai eksport RM887 juta pada 2022.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button