Nasionalpilihan

Keluarga suspek serang balai polis Ulu Tiram didakwa

AHLI-AHLI keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di Johor Bahru bulan lalu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen.

Lima ahli keluarga terbabit didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.

Memetik Utusan Malaysia, Mereka ialah Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Semua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Radin Imran bapa kepada suspek, Radin Luqman, 21, yang maut ditembak di kejadian itu juga berdepan empat pertuduhan berasingan, iaitu menanam ideologi keganasan berkaitan Islamic State (IS), menyimpan empat senapang angin buatan sendiri, berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS, iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 15, Lot 1288, Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lalu.

Dia didakwa  di bawah Seksyen 130G(a), Seksyen 130J(1)(b),  Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta denda, penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun serta denda dan penjara tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Radin Romyullah pula berdepan dua pertuduhan, iaitu telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS, Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki ‘hard disc’ yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara hujung  2014 hingga 17 Mei lalu dan  didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Rosna yang merupakan seorang warganegara Singapura, Farhah Sobrina dan Mariah pula didakwa atas satu pertuduhan.

Iaitu, masing-masing dengan sengaja meninggalkan dari memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lalu serta didakwa di bawah Seksyen 130M, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun berserta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Julai. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button