Nasional
MCMC cadang tambah baik liputan internet di Pulau Kapas, Pulau Gemia
LIPUTAN internet di dua buah pulau di perairan Terengganu iaitu Pulau Kapas dan Pulau Gemia akan ditambah baik bagi membantu sektor pelancongannya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan memberitahu, mereka telah mengenal pasti beberapa lokasi bagi memperluaskan radius liputan internet sedia ada di sekitar pulau berkenaan.
“Cadangan penambahbaikan ini akan merangkumi pengukuhan aspek keselamatan dan tindak balas kecemasan di masa hadapan, dan ia dijangka memberikan pengalaman yang lebih baik buat para pelancong yang berkunjung ke Pulau Kapas dan Pulau Gemia.
“Kemudahan internet yang baik banyak membantu para pengusaha bot dan resort, serta peniaga di Pulau Kapas dan Pulau Gemia dalam kelangsungan penjanaan pendapatan harian mereka,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata itu merupakan hasil daripada sesi turun padang dan pertemuan pihaknya bersama ahli Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pelancongan Pulau Kapas dan Pulau Gemia, yang membincangkan keperluan untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi sedia ada di pulau berkenaan. – SM