Sukan
Piala Asia B-23: Indonesia kalahkan Australia
INDONESIA melakar kemenangan 1-0 ke atas pasukan gergasi Asia, Australia, dalam saingan Piala Asia B-23 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar malam tadi.
Walaupun Australia berpeluang menghukum Indonesia pada awal separuh masa pertama selepas sepakan penalti diberikan pada minit ke 23, namun ia gagal dimanfaatkan.
Tetapi penjaga gol Indonesia Ernando Ari, berjaya menyelamatkan sepakan yang diambil oleh Mohamed Toure justeru menjadi pemangkin semangat buat skuad Garuda Muda untuk bangkit dengan jaringan tunggal Indonesia hadir pada minit ke 45 perlawanan melalui pemain pertahanan, Komang Teguh.
Pada separuh masa kedua Australia cuba bangkit dengan menguasai permainan tetapi benteng pertahanan Indonesia ampuh menerima asakan dan mudah mematahkan serangan demi serangan yang diatur pasukan lawan.
Kemenangan itu sekali gus membuka peluang buat Indonesia melangkah ke peringkat seterusnya dengan kini berada pada kedudukan kedua dalam Kumpulan A.