Lemang periuk kera kini pilihan orang Perlis
BELUM cuba belum tahu tetapi apabila sudah merasa, pastinya hati akan terus terpaut untuk menikmatinya lagi. Itulah keistimewaan Lemang Periuk Kera.
Langkah berani peniaga Lemang Ketupat yang terletak di tepi Shell Seriab, Jalan Kangar-Alor Setar, Hasnifazlina Hassan atau lebih dikenali sebagai Hasni, 39, yang memperkenalkan lemang periuk kera sejak empat tahun lalu tidak sia-sia.
Beliau yang dikenali sebagai peniaga lemang, ketupat palas berskala besar di negeri ini dengan pelbagai jenis rendang dan serunding ini yakin dengan produk yang “rare” ini akhirnya menjadi minat orang Perlis.
Semasa Suara Merdeka membuat liputan di tempat jualan ini juga mendapati lemang periuk kera memang laris.
Ternyata sejak di bulan puasa lagi, lemang periuk kera sudah menjadi pilihan untuk dimakan pada waktu berbuka.
Sebagai peniaga yang juga terkesan dengan kenaikan harga barang maka pada tahun ini setiap pek lemang periuk kera yang seberat setengah kilogram dijual RM16 iaitu naik RM1 berbanding tahun sebelum ini.
Pada tahun ini Hasni menjangkakan beliau akan menghasilkan lemang periuk kera dari 300 kilogram pulut.
“Saya mengggunakan beras pulut Gred A kerana jika tidak lemang periuk kera tidak menjadi dengan elok,” katanya yang saban tahun menjalankan operasi perniagaan menjual lemang dan ketupat dari bermula sebelum hari raya Aidilfitri sehinggalah ke sambutan Aidiladha.
Katanya, setiap tahun bekalan periuk kera sudah siap ditempah dari Orang Asli di Rompin.
Bagaimanapun katanya, di awal pembabitan beliau akui terpaksa masuk perkampungan di Rompin hanya mencari orang yang boleh membekalkan periuk kera untuk dibuat lemang.
Pada kali ini, satu demontrasi membuat lemang ini dilakukan oleh rakannya Nazatul Azreen Othman, 42 di mana perlu membuang dahulu bahagian berbulu manakala pada bahagian atas dipotong sama.
Kemudian berus gigi akan digunakan untuk membersihkan bahagian dalam periuk kera ini.
Periuk kera yang bersih ini akan diisi dengan 3/4 bahagian pulut mentah di mana 1/4 bahagian selebihnya akan dimasukkan santan.
Lemang ini akan dikukus selama 15 minit dan sudah boleh dinikmati.
Sememangnya lemang pulut kera ada keistimewaannya yang tersendiri apabila mempunyai rasa lemak manis dan bertambah enak lagi apabila dicicah dengan rendang daging. – SM