Ekonomi

Rumah Raya Rizman Ruzaini, sedia pelbagai tawaran istimewa, diskaun buat pelanggan setia

PEREKA fesyen duo ternama Rizman Ruzaini melancarkan Rumah Raya Rizman Ruzaini bermula 8 Mac sehingga 8 April ini di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.

Menurut Pemilik Bersama dan Pengarah Urusan Rizman Ruzaini, Rizman Nordin berkata, acara ini julung kali diadakan sebagai medium mendekatkan RR dengan pengikut dan pelanggan mereka.

“Sebelum ini kami mewujudkan Pop Up Booth setiap kali Ramadan dan ia berlangsung pada tempoh yang agak singkat. Kali ini kami mempersembahkan Rumah Raya Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi selama 30 hari berturut-turut, iaitu bermula lebih kurang seminggu sebelum puasa sehingga dua hari sebelum hari raya.

“Kami mahu pelanggan mempunyai masa yang panjang untuk berbelanja raya dan tidak bersesak-sesak di pusat membeli-belah seperti kebiasaan. Inilah kelainan yang ingin kami bawakan untuk acara kali ini,” katanya.

Menurutnya, eksklusif sepanjang 30 hari acara berlangsung, Rizman Ruzaini menyediakan tawaran istimewa untuk pemegang kad Malayan Banking Berhad (Maybank) yang membeli koleksi mereka di sana.

“Untuk pemegang kad kredit Maybank yang berbelanja RM500 dan ke atas layak menerima diskaun sebanyak 20 peratus manakala untuk pemegang kad debit Maybank dengan pembelian RM300 dan ke atas berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10 peratus,” katanya.

Menurutnya, sebagai tanda penghargaan kepada RR Royalties yang banyak menyokong jenama RR selama ini, tawaran khas yang cukup istimewa turut disediakan.

Malah, diskaun 25 peratus ditawarkan kepada petugas media pada 9 Mac.

“Pada 9 dan 10 Mac ini, Rizman Ruzaini menawarkan diskaun 25 peratus untuk mereka yang ingin membeli koleksi raya di acara Rumah Raya Rizman Ruzaini. Tawaran ini hanya untuk dua hari itu sahaja yang dibuka kepada RR Royalties.

“Inilah kepuasan yang mahu diberikan kepada pelanggan yang lebih gemarkan pembelian secara terus. Jadi, kami harap kepada mereka yang bekelapangan, jemput datang ke Rumah Tangsi dan pilih sendiri koleksi yang anda inginkan,” katanya.

Sempena raya tahun ini, Rizman Ruzaini menyediakan hampir 100 rekaan yang memenuhi cita rasa semua lapisan masyarakat di bawah label RR by Rizman Ruzaini.

Koleksi Raya RR 2024 ini dilancarkan sepenuhnya pada 1 Mac lalu dan boleh juga dibeli melalui atas talian di www.rrbyrizmanruzaini.com. – SM 

Artikel berkaitan > Rizman Ruzaini Raya 2024 Couture & Capsule Collection, Helaian Mewah Sempurna Syawal

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button