200 sertai seminar Polemik Nasib Anak Tidak Sah Taraf
LEBIH 200 pelajar dan staf Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menghadiri program Fikrah KUIPs 5.0 anjuran Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Canselori KUIPs dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis di Auditorium kampus Kuala Perlis pagi tadi.
Panel yang menjayakan seminar Polemik Nasib Anak Tidak Sah Taraf Dan Penyelesaian Fatwa Perlis ini ialah Pembantu Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Nurul Hasna Hazni, Pensyarah KUIPs Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin, manakala Moderatornya ialah Ustaz Ahmad Yusairi Yusli dari kampus ini.
Turut hadir Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle, wakil dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan beberapa agensi dari negeri ini.
Pengarah program ini Muhammad Zamri Abdul Gani berkata, sesi wacana ini merupakan salah satu inisiatif berterusan universiti ini sebagai salah sebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam mendepani sesuatu isu-isu semasa di samping untuk menyebarluaskan kesarjanaan ilmu dalam bidang-bidang tujahan yang terdapat di KUIPs.
Katanya, selain itu, program ini juga adalah satu wacana ilmu dalam meningkatkan keterlihatan universiti ini kepada masyarakat umumnya sebagai pentas akademia.
“Seminar yang dianjurkan ini juga memberi peluang untuk KUIPs menampilkan pensyarah FPI yang mempunyai kepakaran untuk tampil dalam wacana ilmiah dan secara tidak langsung membantu mempromosikan Fakulti Pengajian Islam sebagai fakulti yang menawarkan program-program dalam bidang Pengajian Islam,” ujarnya lagi.
Moga program ini dapat dijadikan medan pencerahan kepada masyarakat umum dan meningkatkan kefahaman serta ilmu berkaitan sesuatu perkara yang melibatkan amalan dan agama selain daripada memberikan pendedahan mengenai isu Nasib Anak Tidak Sah Taraf dan Penyelesaian Fatwa Perlis kepada pelajar dan orang awam.
Di majlis ini pelajar dan orang awam juga diberi peluang untuk mengajukan soalan mengenai isu yang diperbincangkan. – SM
BACA Fatwa Perlis: Aib anak zina dipelihara, tutup gosip liar
BACA Anak tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti nama bapa