FCoEE anjur Pesta Buah-Buahan Tempatan sempena Campus Asia Plus
FAIZUDDIN Centre of Educational Excellence (FCoEE) menganjurkan Pesta Buah-Buahan Tempatan sempena “A3I Campus Asia Plus Short Mobility Program 2024’ di Kangar.
Seramai 10 pelajar China dari Hangzhou Dianzi University; 13 pelajar Jepun dari University of Yamanashi; 5 pelajar Korea Selatan dari Pukyong National University serta 12 pelajar Malaysia dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); teruja dengan pengalaman tersebut.
Tambah istimewa ialah ianya berlangsung ketika negeri ini sedang menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Antara buah-buahan tempatan yang disajikan dalam program yang mendapat kerjasama UniMAP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu ialah tembikai merah, tembikai susu, belimbing, betik, nangka madu, jambu batu, nanas MD2, pisang emas, pisang berangan, jambu air madu dan kelapa muda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan program yang diadakan di Nyorok Cafe, bersebelahan Laman Woodball MPK di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan isteri, Datin Noridah Yangman serta Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan.
Selepas majlis tersebut Raja Muda bertitah, rakyat negeri ini sedang menunggu musim mangga Harumanis Perlis yang bakal tiba tidak lama lagi.
Harumanis Perlis sememangnya menjadi rebutan termasuklah penduduk dari negeri lain.
Baunya yang harum dan isinya yang tebal kekuningan serta rasanya yang lazat pasti menawan hati sesiapa sahaja yang mencubanya.
Selain boleh dimakan begitu sahaja, Harumanis Perlis juga sesuai dimakan bersama pulut yang merupakan salah satu sajian tradisi di negeri ini.
Harumanis Perlis juga enak dinikmati dalam bentuk jus dan pelbagai hidangan yang lain.
Ketika musim Harumanis Perlis ini, digalakkan individu, penjual, dan pengusaha restoran khususnya di negeri ini untuk mengambil kesempatan menikmati keenakan, menjalankan urus niaga Harumanis Perlis dan menghasilkan produk-produk hiliran secara lebih kreatif lagi sebagai penjanaan tambahan bagi pendapatan dan ekonomi negeri serta rakyat. – SM
BACA Coolblog lancar kempen pesta buah-buahan bagi raikan musim cuti hujung tahun