NasionalNegeri

Gangguan air 24 hingga 48 jam di Barat Daya Pulau Pinang

PEMULIHAN bekalan air kepada 120,000 akaun pengguna di barat daya Pulau Pinang dijangka mengambil 24 hingga 48 jam kerana kerja fizikal pengalihan saluran paip di Sungai Perai, Pulau Pinang dijadualkan bermula jam 11.30 malam esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beberapa lokasi khasnya membabitkan kawasan hujung laluan (EoL) dijangka mungkin mengambil masa lebih 48 jam berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Kerja fizikal akan mengambil 16 jam dan dijangka siap 2 petang Rabu sebelum air dapat disalurkan seperti biasa yang akan mengambil antara 24 hingga 48 jam.

“Akan ada kawasan yang mungkin terima bekalan semula lebih daripada 48 jam sebab kita sudah melalui proses ini dan sekarang buat kali keempat.

“Kita doakan kerja penyambungan dapat dipendekkan daripada jadual asal (16 jam) dan paip mampu berfungsi dengan baik kerana ia membabitkan lencongan daripada paip asal 1,300mm kepada dua paip 600mm,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan projek menaik taraf Taman Linear di George Town.

Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pemasangan paip sementara itu dijangka berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek menggantikan paip di dasar Sungai Perai siap.

“Ini mungkin menjejaskan tekanan air, tetapi kita harap bekalan air ke kawasan terkesan dapat dipulihkan untuk tempoh panjang sebelum projek kekal membabitkan penggantian paip merentasi Sungai Perai dilaksanakan kelak.

“Projek menggantikan paip dipasang merentasi Sungai Perai di atas darat membabitkan empat lokasi yang akan diumumkan kemudian apabila kita selesai merancang dan melaksanakan projek sementara ini.”

Semalam, PBAPP menangguhkan pelaksanaan gangguan bekalan air yang sepatutnya bermula 11.30 malam ini untuk pengalihan saluran paip itu bagi memberi lebih masa kepada pengguna menyimpan air.

Sementara itu, Chow berkata, gangguan bekalan air akibat kebocoran besar pada saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai Selasa lalu pulih sepenuhnya pagi tadi.

Katanya, Balik Pulau tempat terakhir mendapat air dengan PBAPP hanya dapat melepaskan air dari Tadahan Genting pagi tadi kerana kedudukan paipnya paling hujung, selain kapasiti agak besar mengambil masa untuk diisi secukupnya sebelum dapat disalurkan ke sebahagian besar lokasi terbabit. – SM

BACA Gangguan air: ‘Tak nampak lori tangki, mujur ada perigi’

BACA Gangguan air 2 pagi semalam timbulkan amarah rakyat!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button