Tauhid penting hapus khurafat, sihir rosakkan akidah – Raja Muda Perlis
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Tauhid amat penting dalam membantu menghapuskan segala bentuk khurafat dan sihir yang mampu merosakkan akidah masyarakat Islam pada zaman ini.
Baginda bertitah, dalam konteks khurafat dan sihir, Tauhid berperanan sebagai penawar.
Titah Baginda, kepercayaan kepada Tauhid menguatkan pemahaman bahawa hanya ada satu sumber kuasa dan kekuasaan yang sebenar iaitu Allah.
Raja Muda bertitah, umat Islam yang benar-benar faham dan beriman dengan Tauhid tidak akan terdedah kepada khurafat atau bergantung kepada ilmu sihir sebagai penyelesaian kepada masalah mereka.
“Beta amat berharap pegangan Tauhid akan bermanfaat dan menjadi petunjuk kepada semua yang hadir di sini hari ini”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutup ‘Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2024’ di Dewan 2020 Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim.
PISC 2024 telah berlangsung bermula pada 27 Januari 2024 dan berakhir 28 Januari 2024 merupakan seminar antarabangsa bertemakan “Light of Tawheed” yang merupakan inisiatif MAIPs dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis, Pusat Dakwah MAIPs, Perlis Centre of Wisdom dan beberapa rakan strategik yang lain.
Seramai enam penceramah antarabangsa dan ilmuwan Islam terdiri daripada Sheikh Assim Al-Hakeem, Dr. Muhammad Salah, Sheikh Wasim Kempson, Dr. Abu Ameenah Bilal Philips, Sheikh Hussain Yee dan Dr. Zakir Naik terlibat dalam menjayakan majlis ilmu yang julung kali diadakan di negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian penutup dan pengurniaan cendera kenangan kepada enam penceramah.
Baginda menzahirkan rasa amat berbesar dan bersyukur atas penyertaan program ini yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan umat Islam dari dalam dan luar negara. – SM
BACA Tolak kepercayaan bercanggah akidah Islam