Raja Muda, Raja Puan Muda terima mengadap Panglima Briged Ke-30
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima sembah mengadap pengenalan oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim dan isteri, Datin Zuraidah Ismail.
Majlis mengadap tersebut diadakan di Pejabat Canselor, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
Mohd Zaini menghadiri
Acara Serah Terima Tugas Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia Yang Ke-13 daripada Brigedier Jeneral Yazid Yusuf di Padang Kawad Kem Bukit Cowder pada 2 Januari baru-baru ini.
Beliau mempersembah maklumkan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bahawa pasukannya telah dipertanggungjawab untuk mempertahankan Utara Semenanjung Malaysia daripada sebarang bentuk ancaman atau pencerobohan luar dan memainkan peranan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat diutamakan.
30 Briged dengan misi ‘Mengekalkan Tahap Kesiagaan Tinggi Bagi Melaksanakan Tugas Dan Tanggungjawab Dengan Berkesan’ juga akan sentiasa bersedia untuk membantu Pihak Berkuasa Awam (PBA) dalam hal berkaitan membantu menguruskan keperluan operasi bantuan kemanusiaan.
Pasukan ini turut berada dalam keadaan siap sedia untuk diaturgerak sekiranya terdapat kejadian rusuhan dan lain-lain ancaman yang melibatkan ketenteraman awam.
Terdahulu daripada itu Mohd Zaini dan isteri bersama-sama Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli mengiringi Raja Muda dan Raja Puan Muda melawat ‘Pameran Inspirasi Serikandi’ di Galeri Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
‘Pameran Inspirasi Srikandi’ adalah pameran berkisarkan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah selaku Pro Canselor UniMAP dan telah mula dipamerkan pada 18 November 2023 sehingga 18 April 2024. – SM