Nasional

Ucapan Naib Canselor UPSI sempena konvokesyen tular 366k di media sosial

UCAPAN yang menyentuh jiwa dalam bahasa Melayu yang berseni semasa sesi pertama Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  sempena majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tular dimedia sosial apabila mendapat 366k tontonan menerusi aplikasi TikTok.
Ucapan beliau yang sarat dengan dengan nasihat dan pesanan untuk semua graduan yang hadir di Dewan Tuanku Canselor pada 22 November mendapat perhatian netizen dan ramai yang memuji.
Antara yang disampaikan beliau, “Berpesan pesan dengan penuh ingatan, Berpesan pesan dengan penuh kesedaran, Berpesan pesan dengan penuh kecintaan.”
Beliau berpesan agar graduan tidak melupakan pengorbanan dua insan tersayang kerana insan ini sanggup bergadai bergolok agar dapat menyempurnakan tanggungjawab mereka. Ibaratkan biar miskin, biar papa, asalkan anak-anak dapat menempah kejayaan.
“Ibu dalam sepi menguntum doa, dalam sedih diusap air matanya, dalam perih ditadah tangannya. Mendoakan anak dirahmati Azzawajalla, ayah takkan kau tampak titis tangisnya, yang kau perasan mungkin bengisnya. Tak ingin anak mengulangi silapnya, agar kau berjaya dan berjasa, lebih dari ada dirinya.”
“Adik-adik Graduan, takkan kau sedari pengorbanan mereka ini, hinggalah kau alami suatu hari nanti. Betapa mulianya pengorbanan insan insani, yang Allah amanahkan menjadi wali. Kepada anak yang sentiasa mereka sayangi, dari dunia hingga ke alam kekal abadi.”
“Terima kasih wahai sang ibu, sekalung tahniah wahai sang ayah kerana hari ini hari yang terlalu amat bermakna buat keduamu.”
Ucapan beliau yang menyentuh hati hadirin dan penonton secara “facebook live” mendapat komen daripada netizen sehingga mencecah ratusan ribu. Komen-komen yang diberikan memberikan impak yang baik bahkan menyentuh hati para netizen setelah mendengar ucapan itu.
Antara komen netizen :
“Every season of UPSI convocation, his speech never failed to make everyone touched.” – nurzahidahh
“Excellent speech and advice Prof. Congrats to the graduates of UPSI.” – Agopal
“Ucapan yang sangat bermakna. Saya berbangga pernah menjadi Anak Kandung Suluh Budiman.” – CikguQist
“Tahniah Dato’ atas ucapan yang begitu sampai ke lubuk jiwa. Saya yakin ucapan tersebut Dato’ sendiri menulisnya. Indah benar susunan bicaranya.” – Mohamad Azrin Hassan
“Terima kasih Prof. Amin mengungkap isi hati saya melalui ucapan ini kepada mak dan ayah saya.” – A.
“Bait-bait pesanan yang diungkapkan dengan penuh makna. Tahniah anak-anak cemerlang.” – kak ruby
“Pesanan yang baik buat kita semua. Tahniah yang telah berjaya. Selamat Bertugas dengan Ikhlas dan berjaya.” – Roosnah01
“Masyaallah cantik susun katanya.” – Sdr Mohamad Pirdaus
“Susunan bicaranya amat indah, Alhamdulilah. Moga anak-anak menjadi permata yang amat berguna buat ibu bapa dan seluruh umat, jangan jadi penentang tegar.” – Zawiyah Muhamad769
“Ucapan yang dinanti-nanti oleh para ibu bapa yang hadir. Syabas dan terima kasih.” – tchertim @ cikguTim
Md Amin mengucapkan terima kasih atas komen-komen oleh netizen dan mengakui sebagai Naib Canselor beliau suka mengingatkan graduan sentiasa menjaga nama baik UPSI sebagai tempat mereka menimba ilmu dan mengenang pengorbanan ibu bapa.
Pada setiap sesi, ucapan beliau sentiasa melahirkan perasaan bangga terhadap mahasiswa UPSI yang memperlihatkan pencapaian luar biasa di dalam dan luar negara. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button