Nasional

Tadika Afwa Al Aafiyah kelolaan Siti Nurhaliza terjejas, henti operasi

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan kebimbangan mengenai keadaan lebih 100 kanak-kanak Palestin di Tadika Afwa Al Aafiyah yang dibinanya di Gaza yang terjejas berikutan kekejaman rejim Israel.

Menurutnya, tadika berkenaan kini tidak dapat beroperasi dan semua kanak-kanak serta penjaga tadika sudah diarah berpindah ke Selatan Gaza.

“Memandangkan krisis yang berlaku itu, memang tadika di Gaza tidak boleh beroperasi sebab dalam keadaan perang dan diarahkan berpindah ke Selatan Gaza.

“Itu yang mereka lakukan sekarang dan Alhamdulillah Allah melindungi mereka, mereka sudah selamat sampai di bahagian Selatan Gaza.

“Saya harap bila keadaan kembali pulih, kita boleh (meneruskan operasi tadika seperti biasa),” katanya dalam sidang media selepas Program Bizjihad Lembaga Zakat Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Bagaimanapun Siti berkata, kemusnahan yang berlaku di sana tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu anak-anak di Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa.

“Apa pun keadaan sekarang ini, kemusnahan sudah berlaku tetapi tidak mematahkan semangat saya dan suami untuk meneruskannya.

“Sekiranya perlu dibuat di tempat baharu, kita akan usahakan. Bangunan itu, kalau ikut Dr Mohanad, (bangunan tadika) tidak dibedil, tidak dibom tetapi kita sedia maklum..mereka sudah dikeluarkan dari situ.

“Saya berharap, apabila krisis ini akan berakhir, mereka boleh pulang ke tempat masing-masing (terutama anak-anak serta penjaga tadika),” katanya.

Pada masa sama katanya, pihak yayasan juga sudah menghantar pakaian, selimut dan bahan makanan kepada semua kanak-kanak itu, baru-baru ini.

Beliau turut mengulas ketika ditanya bagaimana Dr Mohanad yang juga rakan baiknya yang membantunya di sana.

“Saya dan suami, setiap hari menunggu ‘update’ daripada Dr Mohanad..dia akan ke hospital setiap hari untuk dapatkan wifi sebab dia hendak pastikan kami di sini tidak risau, selesai maklum perkembangan pada saya, dia akan kembali ke tempatnya. Setiap hari dia berulang alik.

“Saya sangat bimbang keadaan anak-anak setiap hari dia update saya mesti tanya perkembangan keadaan anak-anak, walaupun sedih dengan apa yang berlaku tapi kita doakan semoga Allah bagi bantuan, perlindungan, keajaiban kepada mereka..agar segalanya cepat berakhir,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button