PERINGATAN kepada setiap pemimpin supaya harus memberikan hala tuju kepada orang bawahan agar matlamat dapat direalisasikan.
Malah pemimpin juga wajib mengambil berat tentang segala perubahan yang berlaku di sekeliling, proses penyesuaian dengan persekitaran kerja amat perlu bagi mewujudkan suasana kondusif dan pemimpin mestilah mampu memberikan maklumat yang baik kepada orang bawahannya.
Pada masa yang sama, perkara penting yang mesti dilakukan oleh seorang pemimpin ialah memotivasikan pekerja agar segala peraturan yang ditetapkan berjalan dengan baik.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Titi Tinggi dan Bukit Chabang baru-baru ini.
Majlis tersebut diadakan di Masjid Al-Azim, Titi Tinggi, Padang Besar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs, menambah, keberhasilan seseorang pemimpin itu dapat dilihat dengan adanya hubungan yang harmonis antara pekerja, tidak ada permusuhan, komunikasi berjalan lancar, tidak ada celaan, dan terintegrasi’.
Titah Baginda, seorang pemimpin itu juga boleh menjejaskan semangat dan prestasi seseorang pekerja.
“Pemimpin yang baik akan memotivasikan pekerja untuk menonjolkan segala potensi yang ada pada diri mereka seterusnya memberikan hasil yang optimum,” titah Raja Muda. – SM
BACA Pergolakan Palestin jadi semangat kepada rakyat pertahan negara-Raja Muda Perlis
BACA Guru berperanan tingkat motivasi pelajar – Raja Muda Perlis