Nasional

NGO sebagai rakan strategik bantu agenda pemerkasaan wanita, keluarga dan masyarakat

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri, hari ini telah merasmikan
Program Jalinan KASIH KPWKM bersama NGO bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC).

Program Jalinan KASIH KPWKM Bersama NGO ini diadakan sebagai platform bagi memastikan hala tuju dan agenda pemerkasaan wanita, keluarga dan masyarakat di peringkat nasional adalah selari dengan matlamat dan
tindakan di peringkat NGO.

Program ini merupakan antara inisiatif KPWKM dalam menyediakan ruang dan peluang kepada NGO untuk menyuarakan pandangan dan cadangan selain memantapkan fungsi NGO sebagai mata dan telinga Kementerian. Secara tidak langsung, program ini juga dapat meluaskan jalinan kerjasama antara KPWKM dan NGO serta dalam kalangan NGO sendiri bagi menggalak kerjasama strategik yang lebih harmoni.

Antara inisiatif yang menggalak kerjasama NGO adalah menerusi peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) iaitu bantuan kewangan Kerajaan yang diagihkan kepada NGO bagi menjalankan program pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Bantuan kewangan BKP ini diagihkan bagi menggalak penyertaan dan penglibatan NGO dalam program khidmat kebajikan selain bertindak sebagai rakan kongsi Kementerian dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada kumpulan sasar Kementerian.

Sejak Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) ini diperkenalkan pada tahun 2001 sehingga ke tahun 2023, sebanyak RM96 juta telah disalurkan kepada 2,672 NGO dengan pelaksanaan sebanyak 6,697 program yang melibatkan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dengan penyertaan hampir satu juta peserta di seluruh negara. Kementerian sedar peranan NGO sebagai perantara antara

Kerajaan dan kumpulan sasar adalah penting supaya manfaat daripada program-program tersebut akan dapat dirasai sehingga di peringkat akar umbi.

Selain itu, NGO juga dilibatkan dalam pelbagai sesi dan sumbang saran (brainstorming) yang dianjurkan oleh Kerajaan bagi mendapatkan idea dan pandangan tentang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk
meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Pada majlis ini juga, satu direktori yang mengandungi maklumat berkaitan NGO yang menawarkan perkhidmatan berkaitan kumpulan sasar KPWKM juga dilancarkan bagi memudahkan rujukan dibuat oleh kumpulan sasar Kementerian yang memerlukan bantuan NGO.

Hadir pada majlis ini ialah Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBrs. Dr. Wan Nur Ibtisam Binti Wan Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita dan pegawai-pegawai kanan Kementerian. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button