Luar Negara

Bela Palestin tanggungjawab seluruh umat Islam-PUTRA

APA yang berlaku di Palestin serta Masjid al-Aqsa hari ini bukan hanya suatu perjuangan yang bersifat nasionalis malahan ia adalah suatu kewajipan yang terpikul di atas setiap bahu umat Islam di seluruh dunia.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, PUTRA Malaysia (PUTRA) Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, tidak perlu lagi ulasan panjang lebar berkaitan isu ini kerana seluruh dunia khususnya umat Islam yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT amat mengetahui dengan mendalam berkaitan kezaliman rejim Zionis yang merampas hak dan kehidupan damai umat Islam di Palestin.

Justeru, katanya, segala pembelaan terhadap Palestin dan Masjid al-Aqsa menjadi suatu tanggungjawab agama yang penting dalam pemerkasaan iman dan jati diri seorang Muslim sejati.

“Justeru kerajaan Malaysia meneruskan usaha tegasnya secara istiqomah yang diwarisi oleh semua pimpinan negara yang terdahulu dalam membela serta mempertahankan semua kepentingan dan maslahah umat Islam di Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Fairus yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) PUTRA berkata, sidang khas OIC (Organisation of Islamic Conference) perlu segera diadakan untuk membuat resolusi baharu dalam mempertegaskan segala bentuk sokongan dan dokongan dalam membela Palestin.

Beliau berkata, umat Islam di Malaysia kini menanti dan ingin melihat apakah tindakan-tindakan “affirmative” daripada pihak kerajaan Malaysia untuk membantu membela kepentingan berdaulat sebuah negara Palestin yang merdeka dan dizalimi sejak puluhan tahun itu.

Tambah beliau, Malaysia harus terus ke hadapan melalui pelbagai platform dalam membela maslahah dan kepentingan berdaulat Palestin yang juga merupakan suatu pertangungjawaban dari sudut keIslaman.

“Gerakkanlah segala usaha yang terdaya kita lakukan melalui OIC, ASEAN dan apa jua platform yang sesuai demi membela umat Islam Palestin. Usah hanya bersikap memeluk tubuh dan menjadi pemerhati sepi dari jauh sahaja.

“Umat Islam kini sesungguhnya memerlukan pembelaan bukan hanya “lip service” yang tidak berkesudahan tanpa solidariti yang sewajarnya,” kata Ketua Bahagian, PUTRA Ampang itu dalam kenyataan yang sama. – SM

BACA Masjid seluruh Perlis diarah baca Qunut Nazilah bagi keselamatan rakyat Palestin

BACA Bar Refaeli buta, bisukan kekejaman Zionis ke atas kanak-kanak di Palestin

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button