NasionalNegeri

ATAM perlu lebih agresif cari seramai mungkin asnaf – Raja Muda Perlis

Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ATAM perlu terus proaktif dan menggunakan pendekatan lebih agresif untuk mencari seramai mungkin golongan asnaf.

Bagaimanapun, ia perlu mengikut kriteria yang ditetapkan bagi mengikuti pelbagai program serta latihan yang disediakan sama ada dalam pendidikan, latihan dan kemahiran ataupun keusahawanan.

Pendekatan ‘turun padang’ dengan bantuan para amil setiap kariah dapat membantu dalam perkara ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen bergambar bersama peserta Bengkel Halatuju ATAM sempena Lawatan Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah ATAM MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand di Hotel Rua Rasada, Trang, Thailand.

“Diharap fungsi dan fasiliti ATAM sedia ada perlu untuk terus dioptimumkan,” titah Raja Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika merasmikan Bengkel Halatuju ATAM sempena Lawatan Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah ATAM MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand di Hotel Rua Rasada, Trang, Thailand.

Berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, Taman Desa Asnaf (TDA) misalnya, merupakan platform terbaik bagi ATAM sebagai sebuah ‘ladang’ untuk bercucuk tanam selain melatih para peserta asnaf dengan pelbagai program latihan dan kemahiran bersesuaian yang dapat menjana ekonomi mereka melalui hasil yang dituai.

Titah Baginda, ilmu dan pengalaman berharga ini diharap dapat membantu peserta untuk berdikari dengan keluar daripada ‘kepompong’ kemiskinan dan mereka mampu untuk menjadi pembayar zakat pula suatu hari nanti.

Baginda bertitah, program kelolaan ATAM haruslah bersifat ‘ATAM driven’ supaya agihan zakat mencapai objektifnya serta berimpak kepada peserta asnaf.

“Keadaan ini sangat penting untuk menjaga imej dan reputasi MAIPs, mengekalkan integriti serta kepercayaan dan kepuasan kepada pembayar zakat,” titah Baginda.

JelaS Baginda, ATAM juga perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menarik minat golongan asnaf ke arah bidang keusahawanan.

“Melalui penajaan bantuan modal atau peralatan perniagaan serta khidmat nasihat dan bimbingan berterusan dengan kerjasama agensi yang berkepakaran, ATAM berupaya melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang berjaya.

Malah titah Baginda, konsep ‘mentor-mentee’ sangat sesuai diaplikasikan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button