Belang Bertempat

Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia capai matlamatkah?

BARU-BARU ini, minggu lepas, diadakan demonstrasi jalanan yang diilhamkan ketika perhimpunan reformasi yang melibatkan segelintir rakyat Malaysia yang menunjukkan protes mereka di zaman sebelum kejatuhan kerajaan Barisan Nasional dan bermulanya gelombang biru yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Siapa yang ingat tahun-tahun itu, ingatlah dan sesiapa yang buat-buat tidak ingat, terpulanglah kepada orang perseorangan.

Tidak hairanlah hari ini jika rasa tidak puas hati bukan diterjemahkan secara sepenuhnya di atas kertas undi pada Pilihan Raya sebaliknya dibawa ke jalanan.

Protes dan demonstrasi sudah menjadi budaya rakyat di negara ini yang dibuka pintunya oleh mereka yang gemar dan berteriak dengan lantang, REFORMASI, REFORMASI, REFORMASI dengan slogan INI KALILAH!

Kita imbas apa yang berlaku pada penghujung minggu lepas. Baru lagi. Rakyat semakin bersemangat ikut serta Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia.

Perhimpunan itu ada tujuannya dan objektifnya kerana tidak puas hati dengan kerajaan hari ini yang dianggap zalim.

Perhimpunan itu pada mulanya cuba disekat daripada direalisasikan dengan pendekatan diadakan sekatan-sekatan di jalan-jalan raya.

Namun alah bisa tegal biasa dan disebabkan rakyat Malaysia sudah terajar untuk mengadakan demonstrasi jalanan maka dianggarkan secara kasar, puluhan ribu rakyat berarak.

Mereka berkumpulan di Masjid Kampung Baru dan bergerak berarak di hadapan Sogo Jalan TAR dengan laungan yang tidak enak didengar.

Siapa yang menyertai perhimpunan dan perarakan itu pasti tahu apakah yang diucapkan.

Untuk mengawal keadaan, dikhabarkan juga bahawa perkhidmatan awam seperti LRT dan MRT ditutup.

Tidak perlu dipersoalkan arahan siapa dan pihak polis juga dikerah mengambil tindakan tegas terhadap peserta yang menyertai perhimpunan tersebut.

Dilarang atau ditegah, perhimpunan itu tetap berjalan tanpa menimbulkan sebarang kekecohan. Dalam erti kata lain, Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia dikatakan berjalan lancar.

Suara rakyat dari dulu sehingga ke hari ini perlu didengar dan bukannya tampil dengan alasan yang retorik. Kesusahan rakyat perlu diambil kira yang mana kos sara hidup hari ini yang meningkat.

Benarlah harga sekampit beras 5 kg, RM20 dan harga sekilo ikan kembung RM25, ikan pelaling yang dulu murah, kini berharga RM18 sekilo.

Itu tidak termasuk kesusahan rakyat bukan golongan marhaen atau kayangan yang mahu membeli telor ayam.

Petugas di kaunter bayaran Pasar raya 99 SPEED MART di Kajang memaklumkan, supply telor ayam masuk hari Sabtu, hari Ahad, semua telor ayam habis dijual. Tunggulah hari Sabtu minggu depan untuk kemasukan supply telor ayam, jika ada!

Sepatutnya suara rakyat yang dikatakan suara keramat menghantui benak para pemimpin yang telah diberikan sokongan dan kepercayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.

Rakyat tidak mendoakan yang buruk tetapi para pemimpin tolonglah bantu semua rakyat Malaysia yang tersepit untuk mencari sesuap nasi.

Takkanlah kita hidup hari ini dan akan datang umpama melukut di tepi gantang? Nak cari rezeki dalam negara sendiri pun susah!

Telor tiada, beras di mana, minyak masak usah dikira! – SM

BACA Nurul Fadzilah hadir sebagai peguam pemerhati dalam perhimpunan Selamat Malaysia

BACA MT UMNO membisu: Isham Jalil desak adakan Perhimpunan Agung UMNO Khas

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button