Guru kerugian RM37,750 beli kucing baka Munchkin
Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib yang dialami seorang guru wanita bukan sahaja hajat ingin memiliki kucing baka Munchkin tidak menjadi kenyataan dia pula kerugian hampir RM37,750.
Gara terpedaya dengan penjual kucing di atas talian menyebabkan wanita berusia 39 tahun itu tertipu dengan helah iklan yang dipaparkan di Facebook.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, wanita itu mendakwa dia terpengaruh dengan iklan di Facebook apabila seorang penjual menawarkan kucing baka berkenaan untuk dijual dengan harga RM600 pada 23 Ogos lalu.
Menurutnya, pengadu yang tertarik dengan iklan berkenaan bersetuju dengan urusan jual beli kucing yang didakwa dari Pontian, Johor dan dia telah diminta membayar deposit sebanyak RM300.
“Tetapi setelah mangsa membuat pembayaran, suspek memaklumkan dia perlu membuat pembayaran lain bagi mendapatkan lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Selain itu mangsa perlu membayar kos penerbangan antara negara dan lesen import dari luar negara ke dalam negara dan dalam tempoh dua hari pada 24 Ogos wanita itu telah membuat bayaran keseluruhan berjumlah RM37,750,” ujarnya dalam satu kenyataan hari
ini.
Arshad berkata, wanita itu yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tawaran mana-mana penjualan barang secara atas talian.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan segera menelefon Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk menyekat wang yang telah diserahkan kepada sindiket penipuan,” katanya. – SM