AgamaMahkamahNasional

Mahkamah Rayuan Putrajaya tolak permohonan murtad seorang wanita

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan seorang wanita untuk mendapatkan kebenaran membawa prosiding semakan kehakiman dalam usaha keluar Islam.

Panel tiga hakim diketuai Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan, mahkamah sivil tiada bidang kuasa menyemak keputusan Mahkamah Syariah.

“Perkara keluar Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” kata Hakim Azizah yang membuat keputusan bersama Hakim See Mee Chun dan Hakim Azizul Azmi Adnan.

Mahkamah juga tidak memerintahkan sebarang kos.

Wanita itu yang dilahirkan sebagai seorang beragama Islam mendakwa bahawa dia tidak pernah mengamalkan Islam. Bahkan ibunya membenarkan dia untuk memilih agama sendiri.

Pada 2018, dia memohon Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengeluarkan perintah dibenarkan dia murtad kerana mahu memeluk agama Buddha.

Mahkamah Syariah sebaliknya mengarahkannya menghadiri 12 sesi kaunseling.

Dua tahun kemudian, Mahkamah Syariah menolak permohonannya untuk keluar Islam dan mengarahkannya menghadiri sesi kaunseling tambahan.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan Syariah turut gagal.

Wanita itu kemudian membuat permohonan di mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah, yang didakwanya melanggar Perkara 11 Perlembagaan iaitu kebebasan beragama.

Permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu yang berkata, mahkamah sivil tiada kuasa menentukan kes keluar Islam. – SUMBER FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button