Belang Bertempat

Fasa kritikal buat UMNO

SAYA sangkakan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2018, ia adalah fasa paling kritikal bagi UMNO.

Selain pemimpinnya berdepan dengan pelbagai tindakan undang-undang, parti berkenaan juga berdepan dengan kemungkinan diharamkan.

Namun jangkaan saya itu meleset kerana situasi semasa lebih kritikal. Jika selepas kekalahan pilihan raya umum ke-14 itu, bangunan ibu pejabat UMNO Putra World Trade Centre terpaksa ditukar kepada World Trade Centre semata-mata untuk memastikan bangunan itu tidak tergadai, tetapi kini maruah UMNO sendiri telah tergadai.

Semuanya kerana salah percaturan yang dibuat oleh pemimpin atasan parti yang dianggotai lebih tiga juga umat Melayu itu, apabila mereka memilih untuk bekerjasama dengan DAP.

Baharu sahaja pilihan raya enam buah negeri UMNO telah ditolak secara total dengan peratus kejayaan sekitar 17 peratus sahaja atau dalam ayat mudah gagal dengan teruk sekali.

Sudah pastilah kesalahan itu harus dipikul oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau yang melakar lembaran jajaran baharu untuk bekerjasama dengan DAP, sedangkan telah diputuskan pada perhimpunan agung UMNO bahawa tiada kerjasama dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun sebagai orang lama politik, Zahid sudah bersedia dengan tindakan pencegahan apabila beliau telah menyiapkan barisan benteng yang akan mempertahankannya apabila memastikan pada pemilihan parti baru-baru ini majoriti pemimpin yang dipilih dari atas hingga ke akar umbi adalah mereka yang berada di dalam kemnya.

Ini meletakkan UMNO dalam situasi tersepit. Majoriti ahli akar umbi dan penyokong UMNO menolak kerjasama dengan DAP, tetapi bangsawan parti masih mahu mempertahankan keputusan berkenaan dan mengekalkan presiden yang telah membuat keputusan yang silap setakat ini.

Lebih buruk situasinya apabila UMNO menolak kerjasama dengan dua parti berteraskan Melayu dan Islam iaitu Pas serta Bersatu, situasi itu menyebabkan sokongan telah beralih kepada dua parti berkenaan.

Pada masa yang sama orang-orang lama UMNO yang dipecat atau meninggalkan parti berkenaan kini berada di pihak musuh dan setiap hari mendedahkan kebobrokan parti itu.

Tindakan itu selain menyebabkan krisis dalam parti, ia juga mengakibatkan krisis keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu terhadap UMNO dalam memperjuangkan kepentingan ahlinya yang sudah pastinya Melayu dan beragama Islam, kerana para pemimpinnya lebih banyak membisu dan hal kepentingan orang Melayu dan pada masa yang sama sibuk mensucikan DAP, iaitu rakan kongsi yang baharu.

UMNO boleh menuduh pihak lain dengan pelbagai tuduhan, pada masa yang sama masih gagal bermuhasabah ke dalam diri sendiri menerima hakikat kesilapan langkah yang diambil. Namun bak kata pepatah Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Perbuatan Buruk Padahnya.

Menuduh orang itu meroyan dan orang ini gila talak, tidak menyelesaikan masalah, bahkan hanya menjadikan parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan telah memajukan negara ini selama puluhan tahun sebagai bahan ketawa serta ejekan.

Amat menyedihkan melihat situasi dewasa ini. Sedangkan semua sedia maklum bahawa UMNO perlu perubahan, terutama presidennya perlu diganti. Penolakan kerana watak utama itu sudah tercemar dengan kes-kes mahkamah, walaupun belum diputuskan bersalah atau tidak.

Sepatutnya Zahid secara terhormat melepaskan jawatan bagi membolehkan UMNO meneruskan survivalnya dan bukannya mengheret parti bersama-sama dengan masalahnya.

Selagi Zahid terus bertahan pada jawatannya jalan untuk melakukan perubahan di dalam UMNO akan terus tertutup, kerana para pemimpin yang berkualiti sudah habis disingkirkan dan yang tinggal kini hanya para pengampu.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button