HAPUSKAN stigma selama ini bahawa Politeknik adalah hanya Institusi Pendidikan Kelas Kedua kerana setiap graduan yang dihasilkan kini menjadi rebutan pihak industri.
Peratus kebolehpasaran graduan bagi politeknik juga berjaya melepasi 90 peratus bagi tiga tahun berturut-turut.
Ketua Unit Pengurusan Psikologi, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Mohd Suhaimi Md Nor berkata, Politeknik merekodkan kadar kebolehpasaran 95.32 peratus bagi tahun 2022 di mana ini jelas menunjukkan graduan ini menjadi rebutan di kalangan pemain industri.
“Politeknik khususnya PolyCC merupakan penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar iaitu sebanyak 40 peratus dan jelas menunjukkan bahawa Politeknik bukan Institusi Pendidikan Kelas Kedua tetapi peneraju Institusi Pendidikan Tinggi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berbahas pada Forum Moral bertajuk “Politeknik Institusi Pendidikan Tinggi Kelas Kedua: Stigma vs Realiti”.
Forum ini diadakan sempena Pendaftaran dan Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu POLIMAS Sesi I 2023/2024 yang turut disertai oleh panel Nor Afifah Ahmad Fisol yang juga Pegawai Psikologi POLIMAS dengan moderatornya Nur Asmaa’ Edi.
Ia dihadiri oleh 150 pelajar baharu yang terdiri dari pelajar bukan Islam bagi pengisian slot moral.
Mohd Suhaimi berkata, sejarah telah membuktikan bahawa ramai alumni Politeknik telah mampu untuk bersaing sebaris dengan alumni-alumni dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain dalam pelbagai bidang.
Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology, Datuk Tang Eng Kee yang disenarai majalah Forbes 2O23 antara 50 individu terkaya di Malaysia juga graduan Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari POLIMAS.
“Adalah menjadi kewajipan setiap dari generasi baharu pelajar Politeknik menjadi agen dalam memutuskan stigma yang berlegar dalam masyarakat kita ini,” katanya.
Pelajar Politeknik juga katanya, harus mengutamakan usaha untuk menjadi graduan yang cemerlang berbanding keinginan untuk bersenang lenang serta menikmati kebebasan yang akhirnya akan menjerat diri pelajar itu sendiri.
Salah seorang pelajar bukan Islam yang menghadir seminar ini Lim Yu Hong berkata, beliau melahirkan rasa gembira kerana dapat melanjutkan pengajian di POLIMAS yang mempunyai kemudahan yang setanding dengan IPT lain.
Katanya, yurannya yang agak murah dengan kebolehpasaran yang tinggi ini mampu memberi jaminan pekerjaan setelah bergraduat nanti.
D. Angela Merici berkata, beliau harap stigma Politeknik sebagai Institusi Pendidikan Kelas Kedua dihapuskan.
“Pelajar-pelajar Politeknik perlu mendidik masyarakat tentang kelebihan-kelebihan institusi pengajian ini,” ujarnya. – SM