Ekonomi Thailand tumbuh perlahan, hanya 1.8% untuk suku kedua
EKONOMI Thailand berkembang 1.8 peratus pada suku kedua tahun ini di dorong peningkatabn sektor pelancongan yang mengimbangi kelemahan eksport kelembapan ekonomi global, kata agensi perancang ekonomi negara itu Isnin.
Ini menandakan tempoh pengembangan ketujuh berturut-turut, susut daripada pertumbuhan 2.6 peratus pada suku pertama, yang disemak turun daripada 2.7 peratus yang dinyatakan sebelum ini, menurut data yang dikeluarkan oleh Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC).
Memetik Xinhua, Ekonomi Thailand didorong terutamanya oleh peningkatan penggunaan swasta walaupun terdapat kelembapan dalam pelaburan swasta dan eksport perkhidmatan.
Sementara itu, eksport barangan, pelaburan awam dan perbelanjaan kerajaan menguncup, kata NESDC dalam satu kenyataan.
NESDC menurunkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini kepada julat 2.5-3.0 peratus daripada 2.7-3.7 peratus yang diunjurkan sebelum ini, memandangkan nilai barangan yang dieksport diunjur turun 1.8 peratus tahun ke tahun berbanding dengan pertumbuhan 5.4 peratus pada 2022.
Ia juga meramalkan bahawa inflasi utama negara akan lebih perlahan tahun ini, antara 1.7 peratus dan 2.2 peratus tahun ke tahun.
Ekonomi negara Asia Tenggara itu berkembang 2.6 peratus pada 2022, pulih daripada pertumbuhan 1.5 peratus pada 2021, apabila pemulihan pelancongan penting berterusan dengan pantas. – SM