Jenayah

Juruteknik didakwa cabul anak tiri bawah umur

SEORANG juruteknik mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencabul anak tirinya di Mahkamah Sesyen Kluang, Johor, hari ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul anak tirinya yang pada ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang, pada jam 9.30 malam, sekitar Mei 2022.

Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa di tempat yang sama pada jam 10 malam, sekitar Januari tahun ini.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta lima tahun penjara dan tidak kurang dua sebatan di bawah Seksyen 16 (1), bagi setiap pertuduhan yang dikenakan.

Mengikut fakta kes, mangsa memberitahu bapa kandungnya yang tinggal di Mersing bahawa dia dicabul tertuduh ketika berada di rumah ibunya.

Susulan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Mersing pada 17 Ogos lalu.

Kes itu kemudiannya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan tangkapan dibuat terhadap tertuduh pada keesokan harinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan mengambil kira tahap keseriusan kes itu.

Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan tertuduh untuk menurunkan jumlah jaminan, mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan dengan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis daerah Kluang setiap bulan dan tidak dibenarkan menghubungi atau mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September ini untuk sebutan kes, penyerahan dokumen dan pelantikan peguam oleh tertuduh. -SM

Baca : Dua lemas ketika keluar memancing

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button