PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya usaha untuk memperkenalkan keunikan Perlis kepada orang luar khususnya para pelancong perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dari masa ke semasa.
Baginda bertitah, antara pendekatan yang boleh digunakan bagi mempromosikan Perlis adalah melalui media sosial dan juga media arus perdana seperti televisyen, akhbar serta majalah-majalah.
Titah Baginda, menerusi medium ini boleh dipaparkan dengan lebih jelas dan terperinci segala tempat-tempat di Perlis yang boleh dilawati.
“Semoga negeri ini akan lebih dikenali sama ada di dalam atau di luar negara dan menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di Bahang Bay Hotel, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Pulau Pinang baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda bersempena program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu disambut oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran, The Blanket Group of Hotels & Resorts, Mariana Omar, Setiausaha Kehormat YTSP, Datuk Johari Mohd Darus dan penyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut, Affendi Rajini Kanth.
Bahang Bay Hotel merupakan salah satu hotel di bawah The Blanket Group of Hotels & Resorts dan terdapat empat lagi hotel lain antaranya Langkapuri Resort, Langkawi; Vouk Hotel & Suites, Pulau Pinang; De Palma Hotel, Shah Alam; dan De Palma Resort, Kuala Selangor.
Bermula 21 Ogos 2023, ‘Masakan Kurma Daging Perlis’ akan menjadi sebahagian daripada menu istimewa yang ditawarkan di kelima-lima buah hotel berkenaan atas perkenan Pemangku Raja Perlis sebagai sebahagian daripada usaha kecil untuk menjayakan Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 kepada pasaran pelancongan domestik di negara ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar hidangan masakan ini akan sedikit sebanyak mampu menambat selera mereka yang merasa dan sempat meluangkan masa bersama Eksekutif Sous Chef hotel tersebut, Azlin Abdullah bagi memastikan menu ini disediakan dengan sempurna.
Pemangku Raja juga berharap agar lebih banyak lagi kolaborasi promosi makanan Perlis dapat dijalankan agar menu-menu istimewa dari Perlis dapat diperkenalkan.
Baginda sendiri juga berkenan melaksanakan promosi makanan Perlis bukan sahaja di luar negeri malah di peringkat antarabangsa sebelum ini. – SM
BACA Duta Besar Iran kagum transformasi Kampung Nelayan Kuala Perlis