MahkamahNasional

Mahkamah benarkan Rosmah dapatkan sementara pasport antarabangsanya

Nooryana Najwa dijangka bersalin anak ketiga hujung bulan ini

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya ke Singapura bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib yang dijangka melahirkan anak ketiga pada hujung bulan ini.

Panel tiga hakim terdiri Hadhariah Syed Ismail, Azman Abdullah dan Azmi Ariffin membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon selepas peguamnya Jagjit Singh memaklumkan anak guamnya perlu ke negara itu kerana anak sulungnya, Nooryana akan bersalin dalam masa terdekat.

“Anak guam saya memohon pasport itu bagi membolehkannya ke Singapura esok sehingga 23 Ogos, 26 Ogos sehingga 6 September dan 9 September sehingga 31 Oktober ini. Pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan ini,” kata Jagjit.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.

Rosmah selaku pemohon memfailkan notis usul pada 11 Ogos lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co. bagi membolehkannya melawat Nooryana yang dijangka bersalin pada 28 Ogos ini serta keluarganya di Singapura.

Dalam notis usul itu, Rosmah berkata, sehingga hari ini beliau tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

Menurut Rosmah, beliau akan pulang ke Malaysia untuk menghadiri prosiding rayuan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 18 September ini untuk pengurusan kes.

Ini adalah kali keempat Rosmah memohon untuk mendapatkan pelepasan pasport antarabangsanya untuk ke Singapura.

Kali pertama pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya.

Pada 21 Mac lalu untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat dan pada 15 Jun lalu, bagi melawat anak perempuannya itu.

Nooryana berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan pasangan itu kini menetap di Singapura.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 71, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – SUMBER FMT – SM

BACA Perbicaraan Rosmah Mansor ditangguhkan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button