Isham sokong Pemuda UMNO adakan perhimpunan khas
Pemimpin UMNO, Isham Jalil menyokong Pemuda UMNO buat perhimpunan khas pasca pilihan raya di enam buah negeri.
“Kita perlu berterus terang pada diri sendiri dan berani membuat perubahan di saat getir ini, jika tidak parti kita akan hancur sebelum PRU-16,” katanya dalam hantaran ke media sosial.
Pemuda UMNO akan mengadakan perhimpunan khas bagi mengumpulkan pandangan dalam kalangan pemimpin Pemuda akar umbi mengenai keputusan Pilihan Raya Neger (PRN), baru-baru ini.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata perhimpunan yang akan diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Kuala Lumpur, Khamis ini dijangka dihadiri lebih 1,000 pemimpin Pemuda UMNO dari seluruh negara.
Beliau berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk merungkai permasalahan `senyap’ yang masih berlaku dalam UMNO sehingga menyebabkan parti mewakili Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam PRN di enam negeri minggu lalu.
“Kita mahu buat `post mortem’ terhadap keputusan PRN Sabtu lalu, dengan mendengar sendiri suara Pemuda di peringkat akar umbi.
“Sudah pasti, kita akan membawa suara akar umbi itu ke peringkat atasan parti demi perubahan yang lebih baik untuk UMNO.
“Tak kiralah jika keputusan post mortem itu mahukan Ketua Pemuda UMNO melepaskan jawatan sekali pun, kita akan buat. Yang penting, jika itu adalah kehendak rakyat maka kita sebagai pemimpin perlu berani lakukan demi untuk kelangsungan perjuangan parti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam PRN Sabtu lalu, BN hanya mampu meraih kemenangan 19 kerusi berbanding 108 kerusi di enam negeri terbabit.
Paling terkesan adalah di Terengganu apabila BN mencatatkan prestasi terburuk selepas kecundang semua 32 DUN ditandinginya di negeri itu.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata pihaknya menerima banyak maklum positif daripada ahli Pemuda yang menyatakan minat untuk hadir pada program post mortem berkenaan.
Katanya, memandangkan kapasiti dewan yang terhad, bagi fasa pertama itu pihaknya hanya mengundang pemimpin pemuda yang terpilih ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, Jun lalu atau lebih dikenali sebagai `G5′.
“Insya-Allah, kita akan anjurkan siri jelajah ke seluruh negara selepas ini supaya sesi bedah siasat ini akan lebih berfokus, sekali gus boleh membabitkan lebih ramai ahli Pemuda hadir.
“Sekarang adalah masa untuk kita berani berubah kepada yang lebih baik (kerana) UMNO perlu dikembalikan seperti zaman kegemilangannya satu ketika dahulu,” katanya.