UPSI cakna masa depan golongan orang kurang upaya
JABATAN Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Centre of Disability and Community Inclusion (CDCI) mengambil inisiatif menganjurkan International Symposium of Centre on Disability & Community Inclusion 2023 bertujuan memberi perkongsian tentang inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) kepada warga UPSI dan juga masyarakat.
Ini sejajar menyahut saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Hajah Nancy Shukri, iaitu setiap rakyat termasuk OKU perlu diberikan peluang sewajarnya untuk mengembangkan potensi, membangun masyarakat yang progresif, inklusif dan penyayang.
Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Profesor Madya Dr. Abdul Talib Hashim ketika merasmikan program berkata selaras dengan tema iaitu “Disability Policy and Research”, simposium itu menjadi langkah awal untuk memacu amalan berasaskan bukti, membentuk dasar masa depan dan mewujudkan persekitaran inklusif yang memberi kuasa kepada individu OKU untuk berkembang maju.
Katanya, program bertujuan untuk memberi perkongsian dan pandangan mengenai polisi sedia ada berkaitan OKU dan seterusnya dapat merancang dan melaksanakan aktiviti yang bersesuaian untuk golongan OKU.
“Dengan memupuk masyarakat inklusif, ini dapat memberi manfaat kepada individu OKU untuk memacu pertumbuhan ekonomi, perpaduan sosial, dan pembangunan mampan,” katanya.
International Symposium of Centre on Disability & Community Inclusion 2023 yang berlangsung pada 4 Julai 2023 bertempat di Blok 9 Fakulti Pembangunan Manusia itu menampilkan tiga panel yang hebat dari dalam dan luar negara iaitu Profesor Jennifer Smith-Merry (University of Sydney), Profesor Dr. Ruzita Mohd Amin (UIA Kampus Gombak) dan Dr. Ikmal Hisham Md Tah (UiTM Shah Alam).
Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Nurbieta Abd Aziz menjelaskan simposium yang melibatkan penyertaan seramai 60 peserta itu terdiri daripada anggota badan kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), universiti awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Beliau berkata simposium menyaksikan pembentangan tentang penyelidikan dari pelbagai aspek berkaitan OKU serta pelatih OKU daripada Pertubuhan Pusat Dalam Komuniti (PPDK) Bitara UPSI membuat persembahan pada majlis pembukaan simposium.
“Ini menunjukkan OKU boleh dilatih dan diberi peluang untuk turut bersama terlibat dalam masyarakat,” katanya.
Pihak Jabatan Pendidikan Khas dan CDCI meletakkan harapan simposium ini menjadi wadah dan titik permulaan bagi mengorak langkah seterusnya untuk merangka dan melaksanakan aktiviti di bawah polisi yang bersesuaian untuk gologangan OKU merentas usia.
Program seperti ini, katanya, wajar diteruskan dan dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman dan membuka mata masyarakat terhadap golongan OKU seterusnya membentuk komuniti inklusif yang boleh menjadi contoh seantero dunia. -SM
Baca juga : UPSI kongsi modul pemulihan dalam komuniti bersama petugas JKM