Perbicaraan Ahmad Zahid: Saksi keliru status kontrak Datasonic Technologies
Hari ke-14 perbicaraan kes tuduhan rasuah melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan saksi ke-30 pihak pendakwaan diasak oleh pasukan paguam yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal dengan tegas bertanya kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan, Dr. Uzailee Abdul Latif sama ada kontrak baharu telah ditandatangani antara kerajaan dan Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).
Ini berikutan Ahmad Zahid dituduh menerima dua cek RM6 juta daripada pengarah urusan dan pemegang saham utama DGB (Datasonic Group Berhad) Chew Ben Ben bagi memperoleh kontrak pembekalan cip pasport bernilai RM318.75 juta.
Soalan Ahmad Zaidi berhubung kontrak pembekalan 12.5 juta cip pasport dari Disember 2016 hingga akhir November 2021 itu, membuatkan Dr. Uzailee beberapa kali memandang ke arah pihak pendakwaan.
Ahmad Zaidi cuba mencadangkan kepada Uzailee bahawa kontrak itu bukanlah kontrak baru. Sebaliknya lanjutan daripada kontrak lama yang sebelum ini sudah pun dianugerahkan kepada DTSB, bersama dua lagi syarikat iaitu Iris dan Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN).
Bagaimanapun, Dr Uzailee tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Menurut Dr Uzailee, sebelum pembekalan 12.5 juta cip itu diserahkan kepada DTSB, kontrak pengeluaran cip diserahkan kepada Iris, manakala buku pasport dibekalkan oleh PKN, sementara DTSB membekalkan polikarbonat untuk pasport Malaysia.
Zaidi: Adakah kontrak ini kontrak baru atau kontrak sambungan?
Dr. Uzailee: Tak setuju ini bukan kontrak sambungan.
Zaidi: Tempoh masih ada. Kuantiti tahap maksimum. Lanjutan berdasarkan kontrak lama, (kontrak) dilanjutkan.
(Dr. Uzailee melihat kearah pasukan pendakwaan).
Zaidi: Tengok Yang Arif, jangan tengok DPP (Timbalan Pendakwa Raya).
Dr. Uzialee: Kontrak baru.
Zadi: Kalau betul (kontrak baru) boleh tunjuk pada mahkamah. Letter of award ada tak?
Dr. Uzailee: Tak ada dalam ini.
Zaidi: Ada mana.
Dr. Uzailee : Dalam pengetahuan saya ada dalam file di pejabat Kementerian Kewangan.
Zaidi: Kalau minta boleh.
Dr. Uzailee: Boleh memohon kepada MoH.
Zaidi: Maklumat yang saya ada, tak pernah ada kontrak baru
Dr. Uzailee: Tak benar.
Pada saat ini pasukan pendakwaan meminjamkan dokumen dalam simpanan mereka yang dikatakan sebagai kontrak baru pembekalan cip pasport berkenaan kepada pasukan pembelaan.
Zaidi kemudiannya merujuk dokumen berkenaan kepada Uzailee dan mendapati bahawa kontrak yang dikatakan baru itu sebenarnya tidak pernah ditandatangani.
Zaidi: Selak di muka surat tandatangan. Berdasarkan muka surat itu, kontrak ini belum diputuskan oleh mana-mana pihak sekalipun.
Dr Uzailee: Pada pengetahuan saya, belum diputuskan lagi.
Selepas itu, Uzailee cuba memberikan penjelasan terhadap jawapannya, namun ditegah Zaidi yang terus mengasaknya dengan soalan seterusnya.
Zaidi: Kalau kontrak tak ditandatangani, adakah itu kontrak yang sah?
Dr Uzailee: Tidak. Bukan tidak sah, (tetapi) tidak ada kontrak.
Zaidi: Tak ada kontrak? Lebih bagus kalau begitu!
Bagaimanapun, ketika disoal Zaidi apakah apakah setiap prosedur sudah dipatuhi dalam urusan kontrak berkenaan, Uzailee menjawab “ya”.
Ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, Dr Uzailee diminta menjelaskan tentang “kontrak yang tidak ditandatangani” seperti dibangkitkan Zaidi.
Menurut beliau, proses menandatangani kontrak mengambil masa dan MOF mengeluarkan surat setuju terima (SST) sebagai surat ikatan supaya sesuatu urusan dapat diteruskan sebelum kontrak formal ditandatangani iaitu dalam masa empat bulan selepas SST dikeluarkan.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.-SM