MOSTI beri tumpuan kepada perkembangan teknologi sensor
KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi, salah satunya adalah teknologi sensor berikutan nilai pasaran tinggi yang mampu dijana oleh teknologi berkenaan.
Berucap pada Perasmian Forum Teknologi Sensor Kebangsaan 2023, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pasaran sensor pintar di seluruh dunia dijangka berkembang daripada RM728
bilion pada tahun 2021 kepada RM1.160 trilion menjelang tahun 2026 menurut laporan yang dikeluarkan oleh Research & Markets pada tahun 2022.
“Permintaan yang semakin meningkat untuk sensor akan turut mendorong kemajuan teknologi baharu muncul lain seperti nanoteknologi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dalam Rangka Kerja 10-10 Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (10-10 MySTIE), teknologi sensor merupakan salah satu daripada sepuluh pemacu sains dan teknologi yang dikenalpasti.
Teknologi sensor memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti tenaga, penjagaan kesihatan,
pembuatan, pembangunan bandar pintar, pengangkutan, air dan makanan, perkhidmatan kewangan dan perniagaan, pertanian dan alam sekitar.
“Perkaitan teknologi sensor dalam menangani keperluan dan cabaran global dan tempatan pada masa kini tidak boleh dipertikaikan.
“Teknologi sensor juga telah dinyatakan secara ringkas dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 sebagai alat pemboleh daya untuk pertanian kepersisan (precision farming) dan pertanian pintar (smart farming). Contoh aplikasi teknologi ini termasuk pemantauan keadaan persekitaran yang disepadukan dengan Internet of Things (IoT) dan sistem tanpa wayar,” katanya.
Selain itu, menerusi inisiatif National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Penjanaan Semula Ekonomi Negara (Generator), aplikasi teknologi sensor juga dikenal pasti untuk mempercepatkan peluang pertumbuhan ekonomi melalui disruptive technologies seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi dron
dan lain-lain.
Teknologi sensor juga berkait rapat dengan pelaksanaan beberapa pelan hala tuju teknologi oleh MOSTI seperti Pelan Hala Tuju Elektrik dan Elektronik Nasional 2021 – 2030, Pelan Hala Tuju Robotik Nasional 2021 – 2030 dan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Nasional 2021 – 2025.
Sebelum itu Aminuddin menyaksikan Memorandum Persetujuan (MoA) di antara Persatuan Pembangunan Teknologi Sensor Malaysia (SENSOR Malaysia) dan Biogenes Technologies Sdn. Bhd. (Biogenes).
Dalam MoA ini, Biogenes akan menyediakan dana berjumlah RM50,000 setahun untuk tempoh tiga
tahun kepada SENSOR Malaysia yang akan melaksanakan beberapa program antaranya penyelidikan, latihan dan menghadiri persidangan berkaitan teknologi sensor.
Forum Teknologi Sensor Kebangsaan 2023 membabitkan akademia daripada institusi pengajian tinggi dan pakar industri berkongsi pengetahuan dan meningkatkan pemahaman berkenaan ekosistem dan aplikasi teknologi sensor dalam negara.
Forum ini adalah anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dan SENSOR Malaysia. – SM