Kokurikulum lahir insan holistik generasi Madani
KURSUS kokurikulum yang dipraktikkan di universiti dapat melahirkan insan yang holistik dalam konteks generasi madani.
Ketika berucap merasmikan Karnival Kokuriklum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata kursus kokurikulum berkredit adalah kursus Mata Pelajaran Umum Kelompok 4 (MPU 4) yang dapat meningkatkan kualiti insan sejajar dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).
Sehubungan itu, katanya, penganjuran Karnival Kokurikulum selari adalah aspirasi Pelan Pembangunan Malaysia 2015-2025 dalam melahirkan graduan yang holistik, menghayati nilai-nilai patriotisme dan jati diri beracuan Malaysia serta menguasai kemahiran insanian ke arah memenuhi kebolehpasaran kerja.
Sebaga gimik perasmian Khairudin menyalakan obor ala-ala olimpik yang diikuti percikan bunga api bagi memeriahkan majlis perasmiann Karnival Kokurikulum yang berlangsung di Kompleks Sukan UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City semalam.
Katanya, kursus kokurikulum menekankan pengayaan diri pelajar dari sudut ilmu dan kemahiran yang menjadi nilai tambah dalam kemenjadian pelajar.
Beliau berkata negara memerlukan bakal guru dan pemimpin yang bukan sahaja mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang tetapi menyediakan tenaga kerja yang mempuyai daya tahan yang tinggi, cekap, bersahsiah tinggi serta dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan yang mencabar dalam alam pekerjaan sama ada di peringkat nasional dan global.
Terdahulu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapannya berkata kokurikulum menjadi landasan bagi percambahan idea, ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam memantapkan kualiti pengendalian dan pelaksanaan amalan serta didikan kepada mahasiswa IPTA di UPSI.
“Karnival ini memberi kesedaran kepada mahasiswa supaya aktif, bukan sahaja dalam bidang kokurikulum,malah pelajar aktif dalam bidang kemasyarakatan dan prihatin membantu masyarakat,” katanya.
Karnival yang turut pengarah Pusat Kokurikulum beberapa universiti awam menyaksikan persembahan pasukan pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), aerodance, senamrobik, zumba, persembahan kugiran, serta persembahan seni silat dan taekwando.
Selain itu, pelajar dari lebih 80 kursus mengadakan pameran mengikut kreativiti masing-masing di sekitar Kompleks Sukan dan dikunjungi lebih 5,000 pengunjung.
Pengarah Pusat Kokurikulum , Prof Madya Dr Mazuki Md Yassim berkata Pusat Kokurikulum UPSI menawatkan 59 kursus yang terdiri daripada 118 kumpulan yang merangkumi tiga komponen utama iaitu Persatuan, Seni dan Kebudayaan, Sukan, Permainan dan Rekreasi serta Badan Beruniform.
“Seramai 5742 pelajar Ijazah Sarjana Muda terlibat dalam menjayakan Karnival Kokurikulum kali ini , “ katanya,
Bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Nur Batrisyia Syazwana Khairulanuar,23, menjelaskan bahawa Karnival Kokurikulum ini dapat memupuk semangat berpasukan dan setia kawan dalam pelbagai skop kerja yang diamanahkan yang mencerminkan mahasiswa madani menerusi semangat kesepaduan yang wujud antara satu sama lain.
Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Geografi, Shaik Mohamed Yusuf Shaik Fareed, 22, berpendapat Karnival Kokurikulum ini sangat menarik kerana dapat membantu mahasiswa menimba ilmu pengetahuan baharu melalui pameran daripada pelbagai kursus kokurikulum. -SM
Baca juga : NCIA, Yayasan PERTRONAS dan UPSI Rai Pelajar Cemerlang SPM 2022