Tindakan lebih tegas terhadap penyebaran fitnah – Fahmi
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertindak lebih tegas terhadap penyebaran fitnah termasuk di media sosial terutamanya ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kata Fahmi, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial termasuk Telegram dan TikTok.
“KKD sedang berusaha untuk memastikan MCMC bersikap lebih tegas terutama dalam platform media sosial dan kita sudah adakan pertemuan dengan pihak Tiktok dan Telegram yang menghasilkan kerjasama sangat baik.
“Selain itu, kita juga melihat ada keperluan untuk melakukan pertemuan dengan Meta. Kerjasama yang baik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC serta penyedia platform perkhidmatan media sosial amat penting.
“Bukan sahaja untuk mengekang fitnah tetapi untuk memastikan ia tidak disalah guna, apatah lagi PRN bakal menyusul,” katanya pada sidang media selepas Pra Pelancaran Komuniti Madani peringkat Negeri Kelantan 2023, di Dewan Wawa, Jalan Kelochor, Kota Bharu hari ini.
Fahmi berkata, pihaknya juga melihat terdapat keperluan untuk meneliti terhadap pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 agar MCMC mempunyai lebih kuasa terhadap isu berkaitan.
Katanya, keperluan pindaan akta itu juga untuk memastikan tidak berlaku provokasi atau fitnah membabitkan elemen 3R (Race, Religion, Royalty) selain tidak mempolitikkan agama atau memperolokkan institusi raja-raja.
Katanya, selain sebaran maklumat tidak tepat, pindaan terhadap akta itu perlu dibuat untuk mengekang jenayah siber termasuk scammer.
“Ada keperluan untuk kita teliti dan meminda serta memperkukuhkan akta itu. Saya berharap kita dapat bawa pindaan akta itu ke parlimen menjelang hujung tahun ini,” katanya. – SM