PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis Sambutan Perayaan Duan Wu yang berlangsung di Fairy Le Phenomenal, Kangar anjuran Bahagian Wanita, Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis, malam semalam.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusinya, Dr. Tan Fee Yean.
Fee Yean berkata, perayaan Duan Wu merupakan antara perayaan tradisional yang penting disambut oleh masyarakat Tionghua dan Asia Timur.
“Ia dirai pada hari ke-5, bulan kelima dalam kalendar Lunar Cina, maka perayaan ini adalah lebih biasa dikenali sebagai Duan Wu Jie atau Shuang Wu Jie,” katanya.
Beliau berkata, secara tradisinya, pada perayaan ini akan disambut dengan menganyam, memasak, dan memakan Zongzi serta dirai dengan aktiviti perlumbaan perahu naga.
Fee Yean dalam ucapannya juga berkongsi bahawa Zongzi merupakan sejenis makanan yang menggunakan daun buluh untuk membalut beras pulut ke dalam bentuk piramid.
Katanya, makanan ini menggunakan daun buluh untuk membalut beras pulut ke dalam bentuk piramid dan Zongzi telah disedia dengan pelbagai bentuk dan jenis.
“Perlumbaan perahu naga juga antara aktiviti pada perayaan ini yang melambangkan kekuatan, keteguhan dan kesatuan dan telah menjadi salah satu aktiviti sukan air di peringkat antarabangsa yang disertai oleh pelbagai bangsa dan kaum”, tambah beliau lagi.
Pemangku Raja dan Raja Puan Muda berdua turut berkenan menyertai aktiviti menganyam Zongzi dengan bimbingan Fee Yean yang menjadi pengadil untuk pertandingan meniup perahu naga yang disertai oleh para tetamu yang hadir. – SM