UPSI, GONG STUDIO, jalin kerjasama mantapkan TVET
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) kelmarin memeterai perjanjian persetujuan dengan Gong Studio Holding Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik bagi melatih pelajar dalam kursus profesional penggunting dan penggaya rambut selain menyediakan perkhidmatan tersebut yang menjadikan UPSI sebagai universiti awam pertama melaksanakan Bas Barber di dalam kampus.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, selaras dengan hasrat universiti menyokong Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjasama antara UPSI dengan Gong Studio Holding Sdn. Bhd. akan mewujudkan inisiatif bertepatan dengan objektif strategik UPSI. FTV sebagai fakulti berteraskan pembangunan kemahiran melalui TVET amat signifikan sebagai peneraju dalam membina budaya keusahawanan.
“Sejurus isu pelambakan siswazah pendidikan, UPSI usahasama TVET mampu melangkah aktif dalam bidang latihan untuk mempelbagaikan pendidikan dengan menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Pertanian (Pengembangan Pertanian) yang akan memulakan sesi pengajian pada Oktober ini membolehkan isu tersebut ditangani. Program tersebut berteraskan industri dan realiti kehidupan” jelasnya semasa ucapan aluan MoA antara Gong Studio Holding Sdn. Bhd. di Auditorium Utama Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pagi tadi.
Menurut Md Amin lagi, UPSI juga telah mencadangkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar pangkalan data jumlah pelajar bakal bergraduasi setiap universiti awam program pendidikan dikenal pasti dan dikumpulkan supaya langkah awal yang proaktif dapat diambil.
“Kajian dan perancangan semula tatacara pengambilan pelajar perlu diperkemaskan agar isu ini dapat dikurangkan dan tidak kembali berulang. Kerjasama erat dari setiap pihak terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diperlukan bagi menjayakan inisiatif ini.” jelasnya.
Dalam majlis yang sama, Md Amin turut merasmikan Karnival Keusahawanan dan Food Festival sempena minggu TVET bermula kelmarin hingga 11 Jun 2023.
FTV aktif dalam menjalankan penyelidikan, perundingan dan penerbitan, menjadikan TVET pakar rujuk sekali gus dianugerahkan penarafan 4 bintang dalam Malaysian Research Assessment (MyRA), mengukuhkan lagi FTV sebagai fakulti berpengaruh di UPSI.
Dalam meningkatkan kebolehmenjadian pelajar, FTV melalui FTVInc juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam program ‘Earn & Learn’ dengan penubuhan Special Business Unit (SBU) seperti Food Republic, K-Shoppe, FTV Fresh, FTV Creative dan terkini, Butik Benang dan Bas Barber.
Turut hadir, Pengarah Urusan Gong Studio Holdings Sdn. Bhd., Azlan Abdul Jalil, Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Prof. Dr. Ismail Zainol, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Dr. Marzita Puteh, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan UPSI (JKPU), delegasi Gong Studio Holding Sdn. Bhd. dan Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional, Dr Mohd Azlan Mohammad Husain.