Masalah gatal-gatal anak yang tinggal di asrama
DR. SITI AISHAH YUNOS berkata, masalah kulit dalam kalangan anak-anak yang tinggal di asrama sememangnya sering berlaku. Keadaan ini mungkin disebabkan sejenis kutu kulit dinamakan Sarcoptes Scabies.
“Sarcoptes Scabies adalah sejenis kutu yang duduk di dalam kulit. Kalau kutu kepala kita akan nampak apabila selak rambut. Tetapi kutu kulit ini kita tak nampak,” katanya.
Kutu ini mudah berjangkit antara individu ke individu lain. Termasuk melalui sentuhan. Bagi mengelakkan tidak dijangkiti, jangan bagi mereka berkongsi tuala, baju atau duduk atas katil kawan.
Antara tempat Sarcoptes Scabies gemar berada adalah di celah-celah jari tangan, pusat dan kemaluan. Apabila dihinggapi kutu ini, mangsa akan mengalami tahap kegatalan yang maksimum.
Bagaimana untuk merawat Sarcoptes Scabies?
“Kena gunakan ubat racun. Sapu atas kulit daripada belakang telinga, bawah dagu ke seluruh badan termasuk bawah kuku. Paling minimum biarkan keadaan ini selama lapan jam sehari,” katanya lagi.
Sapuan ubat perlu diulang seminggu kemudian bagi mematikan telur-telur kutu yang baru menetas.
Paling penting ketika proses penyapuan ubat dilakukan, pastikan tidak terkena mata dan mulut.
Ikuti penjelasan lanjut Dr. Siti Aishah daripada Klinik Pakar Aishah Langkawi menerusi video ini. – SM